Hubungan yang Lebih Baik
- 11 minutes ago
- 2 min read
Manfaat Kerendahan Hati - Hari 17

Manfaat Kerendahan Hati - Hari 17
Ayat Fokus: Filipi 2:3-4
Adakah kamu seorang ketua darjah atau pengawas di sekolah? Tugas itu tentu mencabar, terutama apabila pelajar lain tidak mahu mendengar kata kamu. Ini mungkin membuatkan kamu berasa marah dan menjadi lebih garang untuk memaksa mereka patuh.
Suatu ketika di sekolah anak-anak saya, ada seorang pengawas yang sangat ditakuti. Satu pandangan daripadanya sahaja sudah cukup untuk membuatkan pelajar lain lari bertempiaran! Dia juga sangat tidak sopan terhadap ibu bapa yang sedang makan di kantin sekolah. Dia ialah seorang pemimpin yang menggunakan ketakutan untuk membuat orang melakukan apa yang dia mahu.
Jika kamu adalah seorang pemimpin, diharapkan kamu adalah seorang yang rendah hati. Tidak dinafikan kamu perlu tegas, tetapi kamu boleh membina lebih banyak kepercayaan dan rasa hormat dengan bersikap baik hati, mengakui kesilapan sendiri, dan memikirkan apa yang terbaik untuk seluruh kelas berbanding hanya memikirkan kuasa kamu sendiri.
Kamu akan menyedari apabila seseorang tidak sihat atau mungkin memerlukan bantuan dengan pelajaran matematik. Apabila rakan sekelas mencadangkan cara yang lebih baik untuk melakukan sesuatu, kamu memilih untuk mendengar. Ini adalah tindakan seorang yang rendah hati, dan orang seperti ini akan menjadi pemimpin yang hebat.
Besar kemungkinan, pelajar lain akan mula mempercayai kamu dan akan lebih bersedia untuk bekerjasama, serta memberikan penghormatan yang sewajarnya kepada kamu. Perkara ini mungkin tidak berlaku dalam semalam, tetapi kamu boleh berdoa dalam nama Yesus agar ia berlaku secara perlahan-lahan namun pasti.
Renungkan: Kamu boleh menjadi pemimpin yang lebih baik dengan bersikap rendah hati.
DOA
Tuhan Yesus, Engkau adalah pemimpin yang terbaik yang pernah ada. Engkau lemah lembut, penyayang, dan mengambil berat semasa Engkau berjalan di bumi ini. Engkau juga tegas terhadap mereka yang sering berkelakuan seperti pembuli. Engkau melakukan semua ini kerana sikap kerendahan hati-Mu. Tolonglah saya untuk menjadi lebih seperti Engkau di dalam kelas dan di seluruh sekolah saya. Saya mahu menjadi seorang pemimpin yang rendah hati dan lebih baik.
Gereja
Tuhan, ajarlah kami untuk melayan semua orang dengan rendah hati. Daripada hanya memikirkan diri sendiri, ajarlah kami untuk benar-benar mengambil berat terhadap orang lain di sekeliling kami. Dalam nama Yesus saya berdoa. Amin.
Bangsa
Berdoalah agar perniagaan-perniagaan di Malaysia berkembang maju, supaya setiap orang mempunyai pekerjaan dan dapat menyara keluarga mereka.




Comments