top of page

DOA PUASA KEBANGSAAN Hari 16 : Renungan: Daniel Pendoa Syafaat

  • Mar 16
  • 3 min read

Bacaan Alkitab: Daniel 9:1-19

“Raja Darius orang Media, putera Raja Ahasyweros, menjadi raja kerajaan Babilonia. Pada tahun pertama pemerintahannya, aku mengkaji kitab-kitab suci. Aku merenungkan hal kota Yerusalem yang akan menjadi reruntuhan selama tujuh puluh tahun, seperti yang difirmankan TUHAN kepada Nabi Yeremia.


Aku berdoa dengan bersungguh-sungguh kepada Tuhan Allah, memohon belas kasihan- Nya, sambil berpuasa dan memakai kain guni, serta duduk di atas abu.Aku berdoa kepada TUHAN, Allahku, dan mengaku dosa bangsaku di hadapan-Nya. Aku berkata, "Ya Tuhan Allah, Engkau besar, dan kami menghormati Engkau. Engkau menepati perjanjian- Mu, dan Engkau sentiasa mengasihi orang yang mengasihi Engkau dan yang mentaati perintah-Mu.Kami telah berdosa. Kami telah melakukan kejahatan. Kami telah berbuat salah. Kami telah melanggar perintah-Mu, dan menyimpang daripada peraturan-Mu. Kami tidak mendengarkan nabi-nabi, hamba-hamba-Mu, yang telah berucap demi nama- Mu kepada raja, penguasa, dan nenek moyang kami, serta seluruh bangsa kami.


Engkau, ya Tuhan selalu berbuat yang benar, sedangkan kami selalu mendatangkan malu kepada kami sendiri. Demikian juga semua bangsa kami yang tinggal di Yehuda, Yerusalem, dan semua orang Israel yang Engkau cerai-beraikan di negeri-negeri dekat dan jauh kerana mereka tidak setia kepada-Mu.


Raja-raja kami, penguasa-penguasa kami dan nenek moyang kami telah melakukan hal yang memalukan serta berdosa terhadap-Mu, ya Tuhan. Engkau penuh belas kasihan dan keampunan, walaupun kami telah memberontak terhadap-Mu. Kami tidak mendengarkan Engkau, ya TUHAN, Allah kami, ketika Engkau menyuruh kami hidup menurut hukum yang Engkau berikan kepada kami melalui para nabi, hamba-hamba- Mu. Semua umat Israel telah melanggar hukum-Mu dan tidak mahu mendengarkan Engkau. Kami telah berdosa terhadap-Mu. Kami berdosa terhadap Engkau, oleh itu Engkau menghukum kami dengan kutukan yang tertulis dalam Taurat Musa, hamba-Mu itu.Engkau telah melaksanakan ancaman-Mu terhadap kami dan penguasa-penguasa kami. Engkau menghukum Yerusalem lebih dahsyat daripada kota-kota lain di dunia. Engkau menghukum kami menurut semua yang tertulis dalam Taurat Musa. Bahkan sekarang pun, ya TUHAN, Allah kami, kami tidak berusaha untuk menyenangkan hati-Mu. Kami tidak bertaubat daripada dosa kami atau menurut ajaran-Mu yang benar. Engkau bersedia menghukum kami, ya TUHAN, Allah kami, dan Engkau sudah pun menghukum kami. Apa yang Engkau lakukan memang adil kerana kami tidak mendengarkan Engkau.


Engkau telah menunjukkan kuasa-Mu ketika Engkau membawa umat-Mu keluar dari Mesir, ya Tuhan, Allah kami. Kami masih ingat akan kuasa-Mu itu. Kami telah berdosa dan berbuat kesalahan. Engkau telah membela kami pada masa dahulu. Oleh itu janganlah murka lagi terhadap Yerusalem. Kota ini kota-Mu, bukit-Mu yang suci. Semua orang dari negeri-negeri jiran menghina Yerusalem dan umat-Mu, kerana dosa kami dan kejahatan yang dilakukan nenek moyang kami. Dengarlah doa dan permohonanku, ya Allah. Pulihkanlah Rumah-Mu yang telah dimusnahkan itu agar setiap orang tahu bahawa Engkaulah Tuhan.


Dengarkanlah kami, ya Allah; pandanglah kami, dan lihatlah kesusahan kami. Lihatlah penderitaan kota yang disebut dengan nama-Mu. Kami berdoa kepada-Mu kerana Engkau penuh belas kasihan dan bukan kerana jasa kami.


Dengarkanlah kami, ya Tuhan, dan ampunilah kami. Dengarkanlah kami, ya Tuhan, dan bertindaklah! Janganlah berlengah-lengah agar setiap orang tahu bahawa Engkaulah Allah! Kota dan umat ini milik-Mu."


DANIEL IALAH PENDOA SYAFAAT


Kita semua adalah pendoa syafaat, kerana Tuhan mengkehendaki kita menjadi pendoa bagi orang lain. Doa syafaat bererti berdoa bagi pihak orang lain. Mengapa kita dituntut mendoakan orang lain?


1.Kerana kita juga sebelum menjadi orang percaya, didoakan oleh orang- orang percaya sebelum kita.

2.Kerana kristus sendiri bersyafaat bagi kita.

3.Kerana berdoa syafaat ialah tindakan kasih.

4.Kerana berdoa syafaat ialah kehendak Allah bagi setiap orang percaya.


Berdoa syafaat tidak menjadikan kita lebih exclusive dari orang lain. Tidak perlu juga ada suatu kumpulan tertentu yang disebut “pendoa syafaat” yang akhirnya menjadikan kumpulan ini mulai mengasingkan diri dari jemaah lain, menggangap mereka lebih rohani kerana mereka adalah pendoa syafaat.Itu tidah alkitabiah.


“SEMUA ORANG KRISTIAN IALAH PENDOA SYAFAAT”


1 Timotius 2:1.”Pertama sekali aku menggesa supaya doa permohonan dan ucapan syukur disampaikan kepada Allah untuk semua orang..”Paulus mengajar supaya semua orang percaya menjadi pendoa syafaat, bukan hanya segelintir sahaja.


Fokus Doa


Doa untuk generasi masa depan

1.Bersyukur kepada Tuhan atas keadaan ekonomi Malaysia.

2.Doakan agar semua sumber-sumber pendapatan negara diberkati oleh Tuhan.

3.Doakan agar semua sektor-sektor ekonomi di malaysia semakin maju dan

mendatangkan kebaikan kepada semua rakyat.

4.Doakan agar ekonomi rakyat semakin meningkat setiap waktu.

5.Doakan pengelola-pengelola kewangan dalam negara supaya dapat melakukan

tugas dengan amanah dan jujur.

6.Doakan agar semua rakyat Malaysia diberikan peluang sama rata di dalam

perkhidmatan-perkhidmatan awam di seluruh negara.

7.Doakan agar Malaysia terhindar dari sebarang masalah kegawatan ekonomi.

Comments


bottom of page