DOA KEBANGSAAN HARI KE 30 : Kekudusan Dasar Pemulihan Bangsa
- 2 days ago
- 2 min read

Bacaan Alkitab: Zakharia 10:1-2
Pengenalan
Tuhan kita adalah Allah yang kudus. Oleh itu, kita dipanggil untuk memiliki sebuah kehidupan yang kudus. Dalam perjanjian lama, apabila umat Israel tidak memelihara kekudusan, mereka ditimpa penghukuman kerana ketidaktaatan (Kel. 34:7). Dosa penyembahan berhala adalah dosa yang sangat berat dimata Tuhan.
Pemerhati
Teks ini dimulai dengan seruan kepada umat untuk meminta hujan kepada Tuhan. Tuhanlah yang membuat awan-awan yang menjadi hujan deras (ayat 1). Tuhan juga yang memberikan kekeringan sebagai hukuman bagi umat yang melanggar perjanjian-Nya. Musa sudah memperingatkan hal ini seperti tertulis dalam Imamat 26:19 dan Ulangan 28:23.
Penerapan
Secara tersirat, Tuhan dengan penuh kasih sayang dan belas kasihanNya menyeru untuk umat-Nya bertaubat dari segala dosa dan pelanggaran mereka dan merendahkan diri memohon pengampunan-Nya. Oleh itu, apabila kita berbalik kepada Tuhan, Dia dalam kemurahanNya mengampuni kita dan memberkati kita dengan menurunkan hujan lebat serta menyuburkan tanah agar tumbuh-tumbuhan membiak dan bertumbuh kembali di padang (ayat 1b).
Penyembahan berhala menyebabkan murka Tuhan seperti tercatat umat Israel sudah menyembah terafim, iaitu patung berhala rumah (Kej. 31:19). Mereka juga datang kepada juru-juru tenung untuk mendapatkan penglihatan dan mimpi. Tindakan ini merupakan kekejian bagi Tuhan (Ulangan 18:10-12). Oleh itu, Dia menghukum umat-Nya dengan memberikan kekeringan sehingga mereka tercerai berai seperti domba yang tidak bergembala.
Melalui teks ini salah satu dosa yang sangat dibenci Tuhan adalah penyembahan berhala. TUHAN Allah kita adalah Allah yang cemburu (Kel. 20:5). Oleh sebab itu, Tuhan menjauhi umat yang menyembah berhala. Dia akan membalaskannya sampai kepada keturunan yang ketiga dan keempat (Kel. 20:5).
Namun, Tuhan Allah kita juga adalah penyayang dan pengasih. Dia akan mengampuni pelanggaran, kesalahan dan dosa (Kel. 34:6) ketika kita sungguh-sungguh bertaubat. Apakah masih ada berhala dalam kehidupan kita? Berhala itu boleh wujud dalam bentuk kekuasaan, kewangan, ambisi peribadi atau orang? Jika masih ada, sesuai dengan tema doa puasa ini untuk kita segera bertaubat (2 Tawarikh 7:14).
Kesimpulan
Kesimpulannya, marilah kita menjalani kehidupan ini dengan penuh kekudusan, ketaatan, ketekunan dan kesetiaan yang akan mengundang hadirat Tuhan dalam hidup kita.
Fokus Doa
Untuk Penyebaran Injil: Raja segala Raja, bukalah hati dan fikiran untuk berita
keselamatan-Mu. Perkasakan umat-Mu untuk berkongsi Injil dengan keberanian dan kasih sayang. Suruhlah pekerja-pekerja ke ladang tuaian setiap bangsa, supaya semua orang mengenal Engkau, sumber pengharapan dan kedamaian yang sejati. (Matius 28:19-20).
Untuk Perpaduan dalam Kepelbagaian: Tuhan Pencipta, kami meraikan kekayaan permaidani budaya dan etnik yang ditenun di seluruh negara. Bantu kami menerima perbezaan kami dan dapatkan kekuatan dalam perpaduan kami. Kurniakan kami rahmat untuk melihat satu sama lain sebagai saudara dan saudari di mata-Mu, membina jambatan kasih dan hormat. ( Efesus 4:2-4 )




Comments