DOA PUASA KEBANGSAAN Hari 18 : Kasih Untuk Dunia
- Mar 18
- 3 min read

Bacaan Alkitab: Yoh 1:1-14
Mengapa dunia memerlukan kasih? Dunia memerlukan kasih kerana:
Dunia ini adalah ciptaan;
Dunia ini dicipta oleh Pencipta, iaitu, pemilik segala sesuatu yang telah dijadikan (Yoh 1:3);
Dunia ini dalam kegelapan dan kegelapan itu menguasainya (Yoh 1:5);
Dunia menanti “Terang” untuk menerangi kegelapannya (Yoh 1:9);
Dunia tidak mengenal “Terang” itu (Yoh 1:10);
Dunia tidak menerima “Terang” itu walaupun dunia dijadikan oleh-Nya (Yoh 1:11);
Dunia menolak “Terang” walaupun orang yang menerima-Nya akan diberi kuasa untuk menjadi anak-anak Allah (Yoh 1:12);
Menurut teologi Yohanes, “Firman adalah Terang & Terang adalah Yesus Kristus, iaitu, Anak Tunggal Bapa (Yoh 1:14)”. Jika kita meneliti penjelasan Yohanes tentang keberadaan Yesus Kristus sebelum inkarnasi, kita akan mengetahui bahawa Firman yang dimaksudkannya adalah “kata-kata Allah” di dalam Kitab Kejadian 1 semasa peristiwa penciptaan dunia. Yohanes memberi penjelasan bahawa, Firman itu adalah Allah sendiri (Yoh 1:1). Lalu, Yohanes mengatakan bahawa: segala sesuatu dijadikan oleh Dia dan tanpa Dia tidak ada suatu pun yang telah jadi dari segala yang dijadikan (Yoh 1:2).
Kejatuhan manusia pertama (Adam) ke dalam dosa adalah permulaan kegelapan kepada dunia. Di mata Allah, segala kecenderungan hati manusia selalu membuahkan kejahatan semata-mata (Kej 6:5). Kejahatan manusia pada zaman purba adalah besar sehingga Allah membinasakan mereka dalam kejadian air bah atau banjir besar dan hanya menyelamatkan Nuh dan keluarganya (Kej 7:1-24).
Adakah kejahatan manusia berhenti setelah hukuman banjir besar yang memusnahkan dunia purba? Tidak! Bahkan, terdapat banyak bukti yang dicatat oleh Alkitab yang menunjukkan bahawa kejahatan manusia semakin lama semakin besar. Misalnya, peristiwa Menara babel, bukti bangsa-bangsa yang membangun tamadun tetapi melawan Allah! (Babel, Mesir dan sebagainya).
Ketika Allah membentuk bangsa Israel sebagai bangsa baru di dunia, Allah berkenan untuk menjadikan bangsa ini sebagai umat pilihan-Nya. Allah menunjukkan kepada dunia cara-Nya memelihara manusia. Ketaatan akan membawa berkat, kesetiaan akan membawa kemakmuran. Malangnya, Israel terus-menerus melawan Allah sebagaimana bangsa-bangsa lain di dunia walaupun menjadi saksi mata kepada segala perkara besar yang Allah lakukan kepada mereka.
Seluruh dunia telah berbuat dosa dan kehilangan kemuliaan Allah (Rm 3:23). Dosa- dosa manusia menyebabkan dunia ini menjadi begitu gelap dan tidak berpengharapan. Dunia ini bergerak menuju kehancuran tanpa harapan. Namun, Allah tidak membiarkan kehancuran melanda manusia seluruhnya. Sama seperti pada zaman Nuh, Allah berkenan di dalam kehendak-Nya yang berdaulat untuk menyelamatkan manusia menurut kasih karunia-Nya.
Secara prinsip, sama seperti dosa telah masuk ke dalam dunia oleh satu orang, dan oleh dosa itu juga maut, demikianlah maut itu telah menjalar kepada semua orang, kerana semua orang telah berbuat dosa (Rm 5:12), maka manusia diselamatkan oleh satu orang, iaitu Yesus Kristus (Rm 5:17). Sebab itu, sama seperti oleh satu pelanggaran semua orang beroleh penghukuman, demikian pula oleh satu perbuatan kebenaran semua orang beroleh pembenaran untuk hidup (Rm 5:18).
Sekarang, Firman itu telah menjadi manusia, dan diam di antara kita, dan kita telah melihat kemuliaan-Nya, iaitu kemuliaan yang diberikan kepada-Nya sebagai Anak Tunggal Bapa, penuh kasih karunia dan kebenaran (Yoh 1:14). Allah telah datang ke dunia, berinkarnasi menjadi manusia, Yesus Kristus – yang menjadi Tuhan dan Penyelamat manusia. Semua orang yang menerima-Nya diberi-Nya kuasa supaya menjadi anak-anak Allah, iaitu mereka yang percaya dalam nama-Nya (Yoh 1:12). Inilah kasih untuk dunia, iaitu, Allah yang telah datang melawat dunia untuk memberinya harapan akan keselamatan kekal. Mahukah engkau mengabaikan kasih yang begitu agung?
SOLI DEO GLORIA!
Fokus Doa
Doa untuk kebebasan beragama di Malaysia
Berdoa agar pemimpin negara dan pihak berkuasa memerintah dengan keadilan, dan terus memelihara kebebasan beragama yang termaktub di dalam perlembagaan negara Malaysia.
Berdoa agar semua rakyat Malaysia memiliki rasa menghormati satu diantara
yang lain walaupun berbeza kepercayaan.
Berdoa agar kumpulan-kumpulan extremis agama di Malaysia dibenteras.
Berdoa agar komuniti orang percaya di negara ini tetap dapat meneruskan rutin atau aktiviti keagamaan tanpa tegahan dari pihak berkuasa.
Berdoa agar negara ini dijauhkan daripada amalan pilih kasih. Sebagai contoh, peluang-peluang pekerjaan lebih diutamakan kepada bangsa dan agama-agama tertentu.




Comments