top of page

Doa untuk Menghadapi Kekurangan


Dia (Yesus) berkata kepada mereka, “Tuaian banyak sekali tetapi penuai hanya segelintir. Berdoalah dengan bersungguh-sungguh kepada Tuan yang empunya tuaian itu supaya menghantar pekerja untuk menuai.  Lukas 10:2 AVB

 

Ketika berkata-kata kepada para pengikut-Nya, Tuhan Yesus menggunakan gambaran tentang “jiwa-jiwa manusia yang memerlukan pertolongan  segera untuk dimenangi bagi kerajaan Allah”. Oleh itu, Dia menggunakan gambaran yang mudah difahami oleh pengikut-pengikut-Nya, iaitu “sebuah ladang gandum yang sudah menguning dan siap menunggu masa untuk dituai”.

 

Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Tuaian banyak sekali tetapi penuai hanya segelintir. Berdoalah dengan bersungguh-sungguh kepada Tuan yang empunya tuaian itu supaya menghantar pekerja untuk menuai.”

 

Oleh sebab tuan yang empunya tuaian itu menghadapi masalah kekurangan pekerja untuk menuai gandum itu, maka mereka perlu berdoa memohon kepada Tuhan agar menghantar pekerja-pekerja bagi menuai “gandum yang sudah siap untuk dituai”.

 

Hal ini merujuk kepada jiwa-jiwa manusia yang sudah sedia untuk menyambut berita baik tentang penyelamatan dalam Tuhan Yesus. Betapa leganya hati manusia yang menginginkan Injil disampaikan kepada mereka kerana mereka bersiap sedia menerimanya. Oleh sebab hati mereka  sangat merindukan kedatangan Penyelamat yang dijanjikan, maka perlulah disegerakan pemberitaan Injil bagi memenangi mereka untuk kerajaan Allah.

 

Jelaslah bahawa bilangan pekerja yang besar sangat diperlukan. Oleh itu, Yesus menggesa  pengikut-pengikut-Nya berdoa memohon kepada Tuhan untuk menghantar lebih banyak lagi pekerja supaya penuaian gandum  dapat dilakukan tanpa berlengah lagi, iaitu jiwa-jiwa yang haus dan rindu akan beroleh penyelamatan dalam Tuhan.

 

Demikian juga dengan diri kita pada hari ini. Dalam segala kekurangan yang kita hadapi, kita perlu segera datang memohon campur tangan Tuhan Yesus untuk  mengatasi segala masalah yang wujud. Dialah Tuhan yang penuh kuasa dan belas kasihan. Dia tentu akan menolong kita untuk menyempurnakan tugas yang diberikan-Nya kepada kita. Berdoalah sentiasa…

 

Doa:

Ya Bapa yang di syurga, aku berterima kasih kepada-Mu kerana Engkau Tuhan yang boleh menolong aku dalam segala tugas yang Engkau percayakan kepadaku. Ajarlah aku mendoakan baik perkara besar mahupun perkara kecil. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comentarios


1n.png

  Ikuti Kami Di Media Sosial Untuk Meneroka Lebih Banyak Lagi  

AKD.png
bottom of page