Dulu Tidak Mengerti, Sekarang Mengerti
- 1 day ago
- 1 min read

“Dia tiada di sini. Dia sudah bangkit! Ingatlah apa yang telah dikatakan oleh-Nya kepadamu ketika Dia di Galilea:” Lukas 24:6 AVB
Ketika didapati jenazah Tuhan Yesus tiada lagi, mereka berdiri di situ dan berasa kebingungan tentang perkara ini. Tiba-tiba ada dua orang yang berpakaian berkilau-kilauan, berdiri di sisi mereka. Perempuan-perempuan itu sangat takut lalu menundukkan muka ke tanah. Kedua-dua orang itu muncul untuk memberitahu mereka apa yang terjadi kepada jenazah Yesus, “Mengapakah kamu mencari Dia yang hidup di antara orang mati? Dia tiada di sini. Dia sudah bangkit! Ingatlah apa yang telah dikatakan oleh-Nya kepadamu ketika Dia di Galilea: ‘Anak Manusia harus diserahkan kepada orang berdosa. Dia akan disalib dan bangkit pada hari yang ketiga.’ ”
Setelah mereka mendengar pemberitaan itu, barulah mereka sedar dan ingat akan kata-kata Yesus kepada mereka pada masa yang lalu tentang diri-Nya. Sekembali mereka dari makam itu, mereka terus pergi memberitahukan segala-galanya kepada sebelas orang rasul dan semua pengikut Yesus yang lain.
Dalam hidup ini memang banyak perkara yang tidak kita fahami. Sebenarnya, semua akan tersingkap kepada kita pada waktunya. Janganlah runsing tentang apa yang tidak kita ketahui dan fahami pada hari ini kerana semuanya akan kita fahami pada waktu yang ditetapkan Allah. Hal-hal yang tersembunyi adalah bagi TUHAN Allah kita, tetapi hal-hal yang dinyatakan adalah bagi kita dan bagi anak-anak kita untuk selama-lamanya, supaya kita dapat mengikut semua firman-Nya.
Oleh itu, nantikanlah Allah Yang Maha Tahu lagi Maha Kuasa. Tabahkan diri kita dan teguhkan hati kita. Ya, nantikanlah waktu yang ditetapkan Allah.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, berilah aku hati yang sentiasa peka kepada jalan-Mu. Biarlah Roh Kudus mengajar aku segala-galanya dan mengingatkan aku tentang firman-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie




Comments