Dunia Membenci Orang yang Menerima Yesus
- Komuniti Digital 05
- 6 days ago
- 2 min read

“Adakah pada sangkaanmu, Aku datang untuk membawa damai di dunia? Aku berkata kepadamu, bukan perdamaian melainkan perpecahan!” Lukas 12:51 AVB
Tuhan Yesus memberitahu murid-murid-Nya supaya mereka jangan menyangka kedatangan-Nya akan membawa kedamaian di dunia. Manusia perlu bertindak balas dengan membuat pilihan sama ada untuk mengikut Yesus atau tidak. Natijahnya, tindak balas dan pilihan mereka yang berbeza akan menimbulkan perpecahan.
Tidak dapat dinafikan bahawa mereka yang mempercayai ajaran Yesus lalu mengikut-Nya akan dibenci oleh ahli keluarga masing-masing. Ayah akan melawan anak lelakinya dan anak lelaki akan melawan ayahnya. Demikian juga ibu akan melawan anak perempuannya dan anak perempuan akan melawan ibunya. Ibu mertua akan melawan menantu perempuannya dan menantu perempuan akan melawan ibu mertuanya. Keluarga akan berpecah kerana ada yang mahu menerima Yesus manakala ada yang tidak mahu berbuat demikian.
Dengan kata lain, perpecahan ini merupakan kesan daripada seseorang yang menerima Injil ke dalam hidupnya secara peribadi. Apabila seseorang itu menerima Injil, besar kemungkinan penolakan daripada ahli keluarganya yang tidak menerima Injil akan terjadi kerana mereka tidak mahu bertaubat daripada sifat tabii mereka yang berdosa.
Itulah sebabnya Yesus berkata bahawa Dia datang bukan untuk membawa kedamaian kepada keluarga, tetapi membawa perpecahan. Ajaran Yesus dan kebenaran firman Allah akan memimpin seseorang itu untuk bertaubat daripada dosa-dosanya. Dengan itu, dia tidak lagi melakukan hal-hal yang bertentangan dengan imannya. Tidak hairanlah mereka yang masih hidup dalam dosa akan membenci dan menolak mereka yang tidak lagi hidup dalam dosa.
Begitulah apa yang dimaksudkan oleh Yesus tentang kedatangan-Nya ke dunia ini akan membawa perpecahan dalam keluarga. Sebab orang yang menerima Injil akan dibenci oleh mereka yang tidak mahu menerimanya. Namun demikian, sambutan Injil dan kuasanya yang besar memang menyatukan serta mengumpulkan semua orang percaya untuk saling mengasihi. Hasilnya, perdamaian wujud dalam kalangan mereka.
Akhir kata, ingatlah "Jika dunia membencimu, ketahuilah, dunia telah membenci-Ku terlebih dahulu.” Yohanes 15:18 AVB
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, teguhkan imanku untuk terus bersandar kepada-Mu walaupun aku mungkin ditolak atas imanku. Ajarlah aku untuk menjalani hidup yang menurut jalan dan kehendak-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie
Comments