Hamba Yang Tidak Dapat Dipercaya
- Komuniti Digital 05

- 14 minutes ago
- 2 min read

'Seorang hamba lagi menghadap dan berkata, ‘Tuan inilah mina tuan yang telah aku simpan di dalam sehelai kain. ' (Lukas 19:20) AVB
Setelah bangsawan itu dilantik menjadi raja, dia kembali ke negerinya. Setibanya di sana, dia segera memanggil semua hambanya yang telah menerima wang emas daripadanya untuk datang menghadap, kerana dia mahu mengetahui keuntungan yang mereka peroleh selama ketiadaannya.
Hamba yang lain datang menghadap lalu melaporkan apa yang telah dilakukan terhadap wang emas yang diterimanya. Dia berkata, “Tuan inilah mina tuan yang telah aku simpan di dalam sehelai kain. Aku takut akan tuan kerana tuan seorang yang keras hati...”
Setelah mendengar laporan itu, raja berkata kepadanya, “Hamba yang zalim! Aku akan menghukum engkau mengikut kata-katamu sendiri. Engkau mengetahui aku ini seorang yang keras hati, mengambil barang yang bukan milikku dan menuai apa yang tidak aku taburkan...”
Raja itu berkata bahawa seharusnya hambanya menyimpan wang tersebut di bank supaya apabila dia kembali, dia dapat menerima wangnya bersama faedah. Lalu raja bertitah kepada mereka yang berdiri di situ, “Ambillah mina itu daripadanya dan berikannya kepada orang yang mempunyai sepuluh mina itu.”
Hal ini menggambarkan kelalaian seseorang yang telah menerima karunia daripada Tuhan namun tidak pernah berusaha memanfaatkannya. Dia tidak mengambil peduli sama ada Kerajaan Kristus maju atau mundur, kerana dia enggan bersusah payah, tidak mahu kehilangan apa-apa, dan tidak mahu melalui kesulitan.
Bagaimana dengan diri kita pada hari ini? Setelah kita menerima karunia daripada Tuhan Yesus, adakah kita berusaha menggunakannya supaya Kerajaan Tuhan berkembang dan orang lain diberkati serta dibangun? Oleh itu marilah kita menggunakan karunia yang telah kita terima untuk memuliakan Tuhan.
Doa: Tuhan, terima kasih kerana memberikan aku karunia untuk digunakan bagi perkembangan Kerajaan-Mu. Tuhan, ajarlah aku menggunakan karunia yang Engkau telah berikan kepada aku untuk mengembangkan pekerjaan-Mu. Di dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa, amin.
Pr Patrick Taie




Comments