top of page

Hargailah Mereka Yang Mempertaruhkan Nyawa Demi Allah

  • May 24
  • 2 min read

 

Kerana untuk pekerjaan Kristus dia (Epafroditus) hampir mati, mempertaruhkan nyawanya untuk menyempurnakan apa-apa yang kurang dalam layananmu kepadaku.  Filipi 2:30 AVB

 

Rasul Paulus memberitahu saudara saudari dalam Kristus di Filipi tentang seorang lagi yang akan diutusnya kepada mereka selain Timotius. Paulus merasakan dia perlu menghantar Epafroditus yang amat dihargainya kepada mereka. Epafroditus memainkan tiga peranan penting dalam hidup Paulus. Dia merupakan saudara seiman, rakan sekerja, dan teman seperjuangan Paulus yang telah melayaninya dalam keadaannya yang serba kekurangan.

 

Di samping itu, Paulus bersyukur dan tidak lupa bahawa dia telah menerima kiriman wang yang diutus oleh saudara saudari dalam Kristus di Filipi daripada tangan Epafroditus. Dia telah menanggung risiko besar kepada keselamatan dirinya untuk membawa bantuan tersebut bagi menampung keperluan Paulus yang telah dipenjarakan dan membangkitkan semangatnya.

 

Sememangnya, Epafroditus merindui saudara saudari dalam Kristus di Filipi dan berasa susah hati disebabkan mereka telah mendengar bahawa dia sakit sewaktu mengurus pekerjaan Kristus. Memang benar dia sakit dan hampir mati. Akan tetapi, Allah berbelas kasihan kepadanya, bukan hanya dia tetapi Paulus juga supaya kesedihan Paulus tidak bertimpa-timpa. Oleh itu, Paulus menghantar Epafroditus dengan rela dan segera. Sudah tentu mereka akan bersukacita dapat bertemu lagi dengan Epafroditus, dan supaya Paulus juga kurang khuatir.

 

Epafroditus sanggup mempertaruhkan nyawa sehingga dia hampir meninggal demi kepentingan pekerjaan Kristus. Dia berbuat demikian untuk memberi Paulus pertolongan yang tidak dapat diberikan oleh mereka. Oleh itu, mereka harus menyambut kedatangan Epafroditus dalam Tuhan dengan sepenuh sukacita dan hormat. Jelas kelihatan bahawa Paulus ingin mengajar saudara dan saudari dalam Kristus bahawa semua yang turut berusaha gigih dalam pekerjaan Kristus patut diiktiraf dan dihargai.

 

Demikianlah juga dengan diri kita pada hari ini. Kita harus menghormati dan menghargai mereka yang sangat giat melayan dan mempertaruhkan nyawa demi pekerjaan Allah. Hargailah mereka yang banyak berkorban demi Kerajaan Allah dengan cara yang nyata dan praktikal.

 

Doa:

Ya Bapa yang di syurga, ajarlah aku untuk menghargai mereka yang sangat giat dan rela berkorban demi pekerjaan-Mu. Pakailah aku sebagai pelayan-Mu yang setia dan rela berkorban dari segi masa, tenaga dan harta untuk membawa Injil-Mu kepada orang lain. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page