Hargailah Setiap Peluang yang Ada
- Komuniti Digital 05

- Jun 17
- 2 min read

“Aku memberitahumu bahawa ramai nabi dan raja dahulu yang ingin melihat apa yang kamu lihat, tetapi tidak melihatnya serta ingin mendengar apa yang kamu dengar, tetapi tidak mendengarnya.” Lukas 10:24 AVB
Setelah Yesus berkata-kata kepada orang ramai, Dia berpaling kepada murid-murid-Nya. Lalu Dia berkata kepada mereka secara sulit, “Diberkatilah mata yang melihat segala perkara yang kamu lihat. Aku memberitahumu bahawa ramai nabi dan raja dahulu yang ingin melihat apa yang kamu lihat, tetapi tidak melihatnya serta ingin mendengar apa yang kamu dengar, tetapi tidak mendengarnya.”
Sememangnya, mereka sangat diberkati oleh Allah kerana mereka diberi kesempatan oleh Allah untuk menyaksikan apa yang terjadi dengan mata mereka sendiri berbanding dengan banyak nabi dan raja pada masa lalu yang sangat ingin melihat apa yang dilihat mereka. Namun demikian, berkat ini tidak diberikan kepada mereka. Begitu juga mereka mahu mendengar apa yang didengar oleh murid-murid Yesus pada masa itu tetapi mereka tidak dapat kerana waktunya belum tiba. Oleh itu, mereka sangat beruntung diberi kesempatan oleh Allah untuk menyaksikan dan mendengar segala mukjizat serta keajaiban yang berlaku itu.
Mereka melihat dan mendengar secara langsung daripada Tuhan Yesus. Hal ini merupakan berkat yang sangat besar bagi murid-murid Yesus, justeru mereka harus bersyukur kepada Allah dengan menghargai segala peluang yang ada walaupun mereka harus menghadapi pelbagai cabaran dan tentangan.
Demikian juga dengan diri kita pada hari ini. Kita harus menghargai segala hal yang kita lihat dan alami dalam Tuhan Yesus pada hari ini kerana banyak orang dahulu, mahu melihat dan mengalaminya tetapi tidak ada kesempatan. Jadi, kita harus menghargai segala peluang yang kita miliki pada hari ini. Sebab semuanya merupakan berkat untuk kita.
Ingatlah bahawa banyak orang dahulu ingin melihat, mendengar dan mengalami apa yang kita lihat, dengar dan alami tetapi tidak ada kesempatan. Sesungguhnya, hargailah setiap perkara yang boleh menjadi rahmat dalam hidup kita.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, terima kasih atas peluang yang Engkau berikan kepadaku. Ajarlah aku untuk menghargai semua yang aku alami dalam hidup ini. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie




Comments