Hari 16: Seorang Sahabat Allah
- Komuniti Digital 06
- Aug 22
- 2 min read

Tarikh: 22 Ogos 2025
Ayat Fokus: Yakobus 2:23 & 4:8 dan Yesaya 41:8
Gimbang dan Ah Ming adalah sahabat baik. Di sekolah mereka menghabiskan masa rehat dan waktu makan tengah hari bersama. Mereka menaiki bas sekolah yang sama, dan pada masa lapang, jika mereka tidak berada di rumah Gimbang, mereka berada di rumah Ah Ming. Mereka menikmati kebersamaan antara satu sama lain.
Ini adalah seperti yang dilakukan oleh pengikut Yesus Kristus yang berjalan dalam takut akan Tuhan. Dia banyak menghabiskan masa dengan Yesus, bercakap dengan-Nya, membaca Firman Nya dan mendengar suara Roh Kudus. Kita boleh menyebut ini sebagai ‘mendekatkan diri kepada Tuhan’. Kita boleh mempunyai persahabatan yang rapat dengan Allah melalui Yesus.
Dia berkata, “Dampingi [atau datanglah lebih dekat] Allah, Allah akan mendampingimu.”
Apabila kita datang kepada Tuhan dengan iman yang tulus seperti Timotius dan mempunyai hati nurani yang bersih seperti Paulus, kita akan bertaubat, taat, dan akan melayani serta menyembah Nya. Hati dan fikiran kita akan bersih.
Abraham adalah seorang sahabat Allah. Adakah kamu tahu itu? Allah memanggilnya, “sahabat-Ku.” Allah memberikan janji yang indah kepadanya dan bahkan memberitahunya rahsia tentang perkara perkara yang akan berlaku di masa hadapan. Abraham takut akan Tuhan dan menyembah-Nya. Semasa berjalan dari kota ke kota, perkara pertama yang dilakukannya di setiap kota baru adalah membina mezbah. Dia akan mempersembahkan korban syukur di atas mezbah itu dan menyembah Allah (lihat Kejadian 12:8, 13:4 & 18).
Nyanyikan lagu ini tentang Yesus kerana Dia juga boleh menjadi sahabatmu.
“Sahabat terbaik saya adalah Yesus, Dia mengasihi kamu, Dia mengasihi saya. Sahabat terbaik saya adalah Yesus, Dia mengasihi kamu dan saya.”
Renungkan: Adakah Yesus akan memanggilmu ‘sahabat-Ku’?
Doa Hari Ini:
Yesus, terima kasih kerana mengasihi saya, mendekatkan diri kepada saya, dan menjadi sahabat saya. Engkau adalah sahabat terbaik saya! Dalam nama-Mu, Tuhan Yesus, saya memberi pujian kepada-Mu. Amin.
Gereja:
Berdoalah agar setiap hari kita mencari cara untuk mempraktikkan apa yang telah kita dengar dan terima dari Alkitab, serta mengikuti teladan baik daripada ibu bapa, guru Sekolah Minggu, dan pemimpin gereja kita. Berdoalah agar kita peduli terhadap perkara yang Yesus pedulikan. (Baca Filipi 4:9)
Bangsa:
Berdoalah agar kanak kanak yang ditinggalkan bersama penjaga kerana ibu bapa mereka bekerja di luar negara akan selamat di bawah jagaan mereka. Berdoalah juga agar mereka mengenali Yesus dan mendapat rakan di gereja berhampiran.


Comments