top of page

40 Hari Puasa dan Doa Kanak-kanak Bersama NECF Malaysia 2025

Updated: Aug 7


ree

 Tarikh: 7 Ogos – 15 September 2025

Tema: Berjalan Dalam Takut Akan Tuhan (Mazmur 25:12)


Shalom, anak-anak dari semua gereja,


Salam mesra daripada pasukan editorial NECF!


Tahukah kamu bahawa kita sedang meraikan Tahun Jubli Perak kita! Ini bermakna buku doa kanak-kanak yang diterbitkan oleh NECF Malaysia telah memasuki tahun ke-25 sejak edisi pertamanya yang sederhana diterbitkan pada tahun 2001!


Ini juga bermakna sesiapa yang telah menyertainya sejak hari pertama mungkin kini sudah menjadi orang dewasa muda, atau mungkin berada dalam lingkungan usia awal 30-an atau 40-an! Contohnya, YB Yeo Bee Yin, yang pernah menjadi Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi. Beliau pernah berkongsi dalam Pelancaran 40 Hari Puasa dan Doa bahawa beliau telah menyertai 40 Hari Puasa & Doa sejak zaman mudanya, dan pengalaman itu telah membentuk beban serta kasihnya terhadap negara, sehingga menginspirasinya untuk menjadi sebahagian daripada penyelesaian bagi negara kita yang tercinta!


Mungkin kamu tidak bercita-cita menjadi seorang ahli politik atau seorang Menteri seperti YB Yeo, tetapi kamu juga boleh membangun dalam kasih dan keprihatinan terhadap gereja serta negara apabila kamu berkomitmen untuk berpuasa dan berdoa untuk gereja dan negara kita! Yang paling penting, ini boleh mengeratkan hubungan kamu dengan Tuhan apabila kamu meluangkan masa untuk mencari wajah-Nya. Tahun ini, kami sekali lagi menjemput kamu untuk berjalan bersama kami dalam perjalanan kebangkitan yang bertemakan “Berjalan Di Dalam Takut Akan Tuhan” ini!


Dalam perjalanan ini, kamu akan belajar apa maksud “Takut akan Tuhan”, bagaimana berkat Tuhan dapat mengalir dari satu generasi ke generasi yang lain apabila kita takut akan Tuhan, serta akibat jika kita tidak takut akan Tuhan. Kita juga akan belajar cara praktikal untuk berjalan dalam takut akan Tuhan, tindakan yang mencerminkan takut akan Tuhan, serta bagaimana untuk takut akan Tuhan sebagai individu, keluarga, dan gereja. Mulakanlah amalan yang 4 sihat dan indah ini, dan lihatlah perkara-perkara besar dan ajaib yang akan Tuhan lakukan untuk dan bersama kamu apabila kamu takut akan Dia!


Tahukah kamu bahawa tabiat yang baik boleh dibentuk selepas 21 hari amalan yang konsisten? Kami percaya, pada akhir 40 hari ini, kamu akan membentuk tabiat mencari Tuhan melalui pembacaan Firman-Nya, berdoa untuk gereja dan negara, serta berjalan dalam takut akan Dia dengan cara yang benar. Mari kita lihat bagaimana kamu boleh melalui perjalanan ini secara praktikal dengan bantuan buku ini:


  1. Tentukan cara kamu berpuasa – sama ada kamu akan meninggalkan satu hidangan sehari (dengan izin ibu bapa atau penjaga kamu), atau berhenti memakan makanan kegemaran kamu.


  2. Tetapkan masa tertentu setiap hari, dan lakukan perkara berikut secara bersendirian, bersama ibu bapa, adik-beradik, atau rakan-rakan gereja kamu:


    a. Pujian Penyembahan – Sediakan satu lagu, dan pujilah Tuhan.

    b. Firman – Bacalah renungan harian, dan renungkan ayat-ayat yang disebutkan dalam renungan atau doa.

    c. Menanti – Responilah Roh Kudus apabila Dia menunjukkan bahagian dalam hidup kamu yang perlu diubah untuk menyenangkan Tuhan.

    d. Bergumul – Berdoa untuk diri sendiri, gereja, dan negara.


  3. Akhiri sesi dengan Doa Bapa Kami dalam Matius 6:9-13:


    Ya Bapa kami yang di syurga,

    sucilah nama-Mu.

    Datanglah kerajaan-Mu.

    Terlaksanalah kehendak-Mu di bumi sebagaimana di syurga.

    Berilah kami makanan untuk hari ini.

    Ampunkanlah kesalahan kami

    sebagaimana kami mengampuni mereka yang bersalah terhadap kami. Janganlah biarkan kami tergoda,

    tetapi selamatkanlah kami daripada yang jahat.

    Amin.


    Akhir sekali, Mazmur 25:12 berkata, “Siapakah manusia yang takut akan TUHAN? TUHAN akan mengajarnya di jalan pilihan-Nya.” Semoga kita menjadi lebih bijaksana, membuat keputusan yang benar, dan memiliki pertimbangan yang baik dalam hidup apabila kita memilih untuk takut akan Tuhan dan berjalan bersama-Nya.


    Dengan kasih dan doa,

    Pasukan Editorial NECF

Comments


bottom of page