top of page

Hari 2: Takut yang Benar & Salah


ree

Tarikh: 8 Ogos 2025

Ayat Fokus: Mazmur 25:12 dan Amsal 9:10


Ada banyak sebab mengapa orang mempunyai ketakutan. Ada yang takut harimau, dan itu baik kerana ia menghalang mereka daripada berkeliaran di dalam hutan. Ada yang takut perompak, jadi mereka mengunci pintu. Ada juga yang takut guruh dan kilat, jadi mereka menjauhi pokok dan tidak menggunakan payung supaya tidak disambar petir. Ini adalah ketakutan yang baik kerana ia memberi amaran tentang bahaya dan membantu menjaga keselamatan.


Apabila kita berjalan dalam takut akan Tuhan, ini juga adalah ketakutan yang baik. Ini bermakna kita mengasihi Tuhan dengan sangat mendalam sehingga kita menghormati-Nya, mengagumi-Nya, mempercayai-Nya, dan memilih untuk taat kepada-Nya. Ini akan menjaga kita supaya tetap selamat


Lebih daripada itu, berjalan dalam takut akan Tuhan akan membantu kita menjauhi dosa. Masih ingat tentang Adam dan Hawa di Taman Eden? Ketika mereka tidak taat kepada Allah, mereka menjadi takut kepada-Nya. Jika mereka mempunyai rasa takut yang benar kepada Allah, mereka akan bertaubat dan memohon pengampunan daripada-Nya. Sebaliknya, mereka lupa untuk menghormati Allah dan menjadi takut, lalu bersembunyi daripada-Nya.


Ini adalah ketakutan yang salah. Alkitab berkata dalam Amsal 9:10: “Takut kepada TUHAN adalah permulaan hikmah.”


Apabila kita berjalan di jalan menuju hikmah, kita akan hidup dalam takut akan Tuhan. Kita juga akan diberkati dan dibimbing dalam jalan yang harus kita pilih. Inilah rasa takut yang benar.


Renungkan: Takut akan Tuhan menunjukkan kekaguman kita terhadap-Nya.


Doa Hari Ini:

Bapa yang di syurga, Engkaulah satu-satunya Allah yang sungguh menakjubkan. Kepada-Mu saya menaruh kepercayaan saya. Engkaulah yang saya pilih untuk taati. Tolong bimbing saya di jalan menuju hikmah. Saya juga memilih untuk lebih menghormati Engkau dalam hidup saya apabila saya berjalan dalam takut akan Engkau. Dalam nama Yesus saya berdoa. Amin.


Gereja:

Berdoalah agar kita tidak memikirkan atau mengucapkan kata-kata yang kasar atau cemburu, tetapi sebaliknya berbuat baik serta bertutur dengan sopan dan lemah lembut kepada orang lain. (Baca Amsal 8:13)


Bangsa:

Berdoalah agar Tuhan melindungi mereka yang bersuara demi hak orang miskin dan yang memerlukan, kiranya kerajaan mendengar cadangan mereka untuk memperbaiki kehidupan golongan yang kurang bernasib baik ini.

Comments


1n.png

  Ikuti Kami Di Media Sosial Untuk Meneroka Lebih Banyak Lagi  

AKD.png
bottom of page