top of page

Hari 21: Hormat Kepada Allah Yang Hidup


ree

Tarikh: 27 Ogos 2025

Ayat Fokus: Daniel 6:26, Mazmur 5:7, dan 1 Petrus 3:2


Adakah kamu masih ingat kisah Raja Darius yang diperdaya oleh orang-orangnya yang iri hati sehingga terpaksa memasukkan Daniel ke dalam gua singa kerana Daniel berdoa kepada Allah? Apa yang berlaku selepas itu? Raja Darius berasa sangat bimbang kerana dia mempercayai dan menghormati Daniel. Dia tidak mahu sesuatu yang buruk berlaku kepadanya. Namun, kisah ini berakhir dengan baik kerana Allah yang hidup telah menutup mulut singa-singa itu rapat-rapat. Daniel tidak mengalami sebarang kecederaan. Selepas kejadian itu, raja mengeluarkan titah supaya semua orang di seluruh wilayah kekuasaan kerajaannya “harus hormat dan takut kepada Allah yang disembah Daniel, kerana Dialah Allah yang hidup”.


Hormat adalah sebahagian daripada tindakan takut akan Tuhan. Hormat adalah rasa penghormatan yang mendalam dan kekaguman kepada Tuhan. Ini membuatkan kita bersujud dan menyembah Dia. Ini juga membuatkan kita ingin hidup dengan suci dan penuh hormat, supaya orang lain dapat melihat kelakuan kita dan datang kepada Kristus. Sama seperti dalam kisah Daniel, kadangkala kita tidak perlu menggunakan kata-kata kerana tindakan kita yang penuh hormat dan baik sudah cukup untuk menjadi kesaksian.


Apabila Tuhan mengampuni dosa kita, kita akan melayani-Nya dengan penuh hormat. Dan apabila kita datang ke gereja, kita akan datang tepat masa, berpakaian sopan dan terbaik. Kita tidak akan datang dengan menjerit-jerit atau berlari-lari, tetapi dengan ketenangan dan rasa hormat kerana kita datang untuk bertemu dengan Juruselamat dan Tuhan kita, Yesus Kristus. Begitu juga dalam kehidupan seharian kita di sekolah dan di rumah, semua kelakuan kita harus menyenangkan hati Tuhan.


Renungkan: Apabila kita benar-benar takut akan Tuhan, kita akan memberikan-Nya penghormatan yang sepatutnya.


Doa Hari Ini:

Bapa Syurgawi, Engkaulah satu-satunya Allah yang hidup, dan saya sujud di hadapan-Mu dengan penuh hormat dan kekaguman. Saya menyembah-Mu. Engkau adalah Allah yang benar, adil dan kudus. Takut akan Engkau adalah suci, kekal, dan lebih berharga daripada emas dan perak. Segala perintah-Mu adalah benar. Tolonglah saya agar sentiasa menghormati dan mengagumi Engkau. Dalam nama Yesus saya memuji-Mu. Amin.


Gereja:

Berdoalah agar kita mempercayai Tuhan dalam perkara penting dalam hidup kita seperti hubungan dengan orang lain, peperiksaan, dan pilihan pembelajaran. (Baca Mazmur 115:11)


Bangsa:

Berdoalah agar rakyat Sabah dan Sarawak menerima hak yang sama seperti rakyat di Semenanjung Malaysia, dengan lebih banyak peruntukan untuk membangunkan sistem jalan raya, perkhidmatan utiliti, kemudahan kesihatan dan pendidikan.





Comments


bottom of page