top of page

Hari 22: Payung Kekuasaan


ree

Tarikh: 28 Ogos 2025

Ayat Fokus: 1 Petrus 2:12-17 dan Roma 12:1-2


Adakah kamu mengenali sesiapa yang berkhidmat dalam tentera, polis, atau Rela? Jika ya, kamu pasti tahu bahawa mereka mesti menunjukkan rasa hormat dengan berdiri tegak dan memberi tabik hormat kepada mereka yang berpangkat lebih tinggi. Mereka juga perlu berkata, “Ya, Tuan!” atau “Tidak, Tuan!” kerana orang tersebut berada dalam jawatan berkuasa yang lebih tinggi daripada mereka.


Apabila seseorang berada dalam kedudukan berkuasa, mereka mempunyai kuasa untuk memberi arahan dan membuat keputusan. Mereka memastikan semua orang mematuhi peraturan. Salah satu tindakan takut akan Tuhan dan menghormati-Nya adalah dengan menyedari bahawa Dia berkuasa dan mempunyai kuasa tertinggi ke atas kita. Oleh itu, rasa hormat dan kekaguman kita kepada Nya mendorong kita untuk taat kepada-Nya. Kita bersujud di hadapan-Nya kerana Dialah yang harus kita hormati dan patuhi.


Kira-kira seribu tahun yang lalu, rakyat di China dan Korea mempunyai Maharaja (seperti Agong). Mereka TIDAK BOLEH sewenang-wenangnya pergi menghadapnya. Mereka perlu diundang terlebih dahulu. Kemudian, mereka harus berpakaian kemas dan berlutut dengan dahi menyentuh lantai. Mereka juga perlu berkata, “Daulat Tuanku!” Jika tidak, mereka boleh dihukum, seperti menerima 30 sebatan.


Sudah tentu, Tuhan itu penyayang dan penuh belas kasihan. Namun, kita tetap perlu sedar bahawa Dialah yang paling berkuasa di atas segalanya. Dialah yang memberikan kuasa kepada raja-raja, polis, ibu bapa, dan guru-guru. Oleh itu, kita mesti taat kepada Tuhan dan juga kepada mereka yang diletakkan di atas kita. Tuhan seperti payung yang melindungi semua orang di bawah-Nya. Bersyukurlah kepada-Nya dan tunjukkan ketaatan kita kepada-Nya.


Renungkan: Sedarlah bahawa Allah adalah Raja kita yang memiliki segala kuasa ke atas kita.


Doa Hari Ini:

Bapa Syurgawi, Engkaulah Raja yang Maha Berkuasa, penuh keagungan dan kekuasaan. Saya tundukkan hati dan kehendak saya kepada kuasa-Mu dalam ketaatan. Kepada-Mu saya mengangkat mata dan memberikan kesetiaan saya. Ya Tuhan, saya juga ingin berdoa untuk ibu bapa, guru-guru, dan pemimpin gereja saya yang Engkau telah tempatkan di atas aku. Berikanlah mereka kebijaksanaan dalam mentaati-Mu dan membimbing saya ke jalan yang benar. Dalam nama Yesus, Amin.


Gereja:

Berdoalah agar kita menunjukkan rasa takut akan Tuhan dengan melakukan perbuatan baik, supaya Bapa Syurgawi akan dipuji kerana perbuatan kita yang baik. (Baca Kisah Para Rasul 10:2)


Bangsa:

Berdoalah agar golongan muda tidak terlalu banyak bermain permainan sehingga mereka terlepas waktu makan dan tidur lewat pada waktu malam, yang boleh menjejaskan kesihatan mereka. Berdoalah agar mereka makan dengan seimbang, bersenam, dan mendapatkan rehat yang mencukupi setiap hari.

Comments


bottom of page