Hari 23: Doa – Hubungi 3-3-3
- Komuniti Digital 06
- Aug 29
- 2 min read

Tarikh: 29 Ogos 2025
Ayat Fokus: Yeremia 33:3 dan Daniel 6:10-28
Di Malaysia, jika kamu menghadapi kecemasan, kamu perlu menghubungi ‘999’. Nombor ini digunakan untuk meminta bantuan polis, bomba, atau ambulans. Namun, kamu tidak boleh menghubungi nombor ini jika kamu mengalami kecemasan berkaitan dengan kerja rumah matematik!
Tahukah kamu bahawa Tuhan juga mempunyai nombor telefon? Ia adalah 3-3-3, iaitu Yeremia 33:3. Tuhan berfirman, “Berserulah kepada-Ku, maka Aku akan menjawab engkau.” Bukan itu sahaja, Dia juga berkata bahawa Dia akan “menyatakan kepadamu hal-hal yang besar dan yang tidak terselami, iaitu hal hal yang tidak kauketahui.”
Bercakap dengan Tuhan adalah salah satu tindakan takut akan Tuhan. Ia dipanggil ‘doa’. Semakin kita dekat kepada-Nya, semakin banyak kita akan bercakap dengan-Nya.
Masih ingat kisah Daniel dalam gua singa? Dia berdoa tiga kali sehari di dalam biliknya. Dia dikenali sebagai seorang yang rajin berdoa. Tuhan juga memberitahunya hal-hal besar dan ajaib. Tuhan melindunginya dan menutup mulut singa-singa itu.
Sahabat baik suka berkongsi rahsia dan berbual tentang apa sahaja. Kita juga boleh bercakap dengan Allah dan Tuhan Yesus seperti itu. Jadikan Yesus sebagai sahabat baikmu. Dia sentiasa mendengar, sama ada dalam waktu kecemasan atau perkara harian. Dia mahu mendengar f ikiran, idea, kegembiraan, dan masalahmu. Dia bercakap dengan kita melalui Alkitab dan Roh Kudus. Oleh itu, seperti lirik lagu sekolah minggu, “Baca Alkitab, berdoa setiap hari, maka kamu akan bertumbuh, bertumbuh, bertumbuh.”
Renungkan: Hubungi 3-3-3 sekerap mungkin!
Doa Hari Ini:
Yesus, terima kasih kerana sentiasa mendengar seruan saya. Terima kasih kerana peduli dan menjawab doa saya. Saya menaruh kepercayaan saya kepada Mu. Dalam nama-Mu saya bersyukur. Amin.
Gereja:
Berdoalah agar kita tidak menjadi sombong, tetapi sentiasa bersedia untuk mendengar nasihat yang baik. Paling penting, berdoalah agar kita dapat mendengar suara Roh Kudus melalui Firman-Nya yang hidup. (Baca Amsal 19:20-21)
Bangsa:
Jumlah golongan B40 atau kumpulan termiskin di Malaysia telah meningkat selepas pandemik. Berdoalah agar mereka pekerjaan mendapat yang baik dengan gaji mencukupi, sekurang-kurangnya untuk menampung keperluan harian mereka, terutamanya bagi mereka yang mempunyai tanggungan keluarga yang besar.


Comments