Hari 25: Menyembah Yesus
- Komuniti Digital 06
- Aug 31
- 2 min read

Tarikh: 31 Ogos 2025
Ayat Fokus: Lukas 2:11-14; 28-32; 36-38 dan 24:50-53
Semasa cuti sekolah, Gimbang melawat neneknya di kampung. Di sana, dia melihat kaum lelaki sedang membina sebuah rumah. Pada mulanya, ia kelihatan seperti sekadar kepingan rawak: tapak konkrit, paku di sana sini, bata-bata tersusun, bukaan tingkap, kepingan bumbung zink dan sebagainya. Tetapi akhirnya, semua itu membentuk sebuah rumah yang selesa.
Begitu juga dengan semua tindakan takut akan Tuhan. Hormat, kekuasaan Tuhan, doa, kesetiaan dan kepercayaan, semuanya bersatu dan membuatkan kita ingin menyembah Tuhan. Menyembah Tuhan adalah salah satu tindakan takut akan Dia.
Semasa Yesus lahir, para malaikat memuji dan menyembah Tuhan ketika mereka mengumumkan kelahiran-Nya kepada para gembala. Apabila Yusuf dan Maria membawa bayi Yesus ke bait suci, Simeon dan seorang wanita tua bernama Hana memuji dan memuliakan Tuhan. Mereka menyembah dan bersyukur. “Sukacita bagi dunia! Keselamatan telah datang!” Inilah Yesus, Imanuel - Tuhan beserta kita! Marilah kita sujud dan menyembah ‘AKU ADALAH AKU’!
Penyembahan bukan hanya bahagian nyanyian di gereja. Ia adalah kekaguman dan pengabdian yang besar yang kita tunjukkan kepada Tuhan. Jika ia diarahkan kepada bintang filem - itu adalah penyembahan berhala dan salah. Tetapi jika ia diberikan kepada Tuhan, itu adalah benar dan harus menjadi sebahagian daripada cara hidup kita.
Selepas para murid melihat Yesus diangkat ke syurga, kita mungkin menyangka mereka akan berasa sedih. Tetapi Alkitab mengatakan mereka “menyembah Dia dan pulang ke Yerusalem dengan penuh sukacita”.
Kita juga boleh bersukacita kerana Yesus sentiasa menyertai kita ke mana sahaja kita pergi. Kita boleh terus menyembah Nya di mana-mana sahaja kita berada.
Renungkan: Sembahlah Yesus.
Doa Hari Ini:
Yesus, segala kemuliaan bagi-Mu! Engkau membawa penyelamatan dan penebusan bagi umat manusia. Kami sujud dengan hati yang penuh syukur. Engkau layak menerima penyembahan kami. Kami memberi-Mu penghormatan, kemuliaan dan pujian kerana darah Mu telah tertumpah bagi jiwa kami. Engkau telah mendamaikan kami dengan Allah. Dalam nama Mu, Tuhan Yesus, kami mengucap syukur. Amin.
Gereja:
Berdoalah menjadi agar kita bejana yang bersih dan berguna dalam rumah Tuhan. (Baca 2 Timotius 2:21)
Bangsa:
Berdoalah agar setiap anak di Malaysia mendapat peluang untuk bersekolah dan belajar membaca, menulis dan mengira.


Comments