Hari 29: Mematuhi Lebih Baik Daripada Korban
- Komuniti Digital 06
- Sep 4
- 2 min read

Tarikh: 4 September 2025
Ayat Fokus: 1 Samuel 15:10-23, terutamanya ayat 22
Bagi kamu yang mempunyai adik beradik, pasti kamu faham kisah ini. Bayangkan ada satu peraturan di rumah yang mengatakan setiap orang hanya boleh mengambil dua keping biskut pada satu masa. Suatu hari, kamu pergi ke balang biskut dan mengambil empat keping. Apabila ibu bertanya mengapa kamu mengambil terlalu banyak, kamu menjawab kamu ambilkan untuk adikmu. Ibu pun berkata, “awww...” dan membiarkan kamu mengambilnya. Tetapi secara diam-diam, kamu makan tiga biskut dan hanya memberikan satu kepada adikmu. Kemudian, ibu mendapat tahu dan... PIAK! Kamu pun dirotan!
Saul melakukan perkara yang sama. Tuhan telah memerintahkannya untuk memusnahkan segala-galanya milik musuhnya, termasuk semua kambing, lembu, dan domba, sebagai tanda ketaatan. Tetapi Saul menjadi tamak dan berfikir sendiri, “Alah, membazir saja. Aku bunuh yang buruk-buruk saja, yang elok aku simpan. Nanti aku buat sedikit korban untuk Tuhan, jadi dua-dua untung!” Namun, Tuhan sangat tidak berkenan dengan sikap Saul. Sebagai hukuman, Tuhan menolak Saul sebagai raja dan memilih Daud untuk menggantikannya. Nabi Samuel kemudian mengucapkan satu ayat yang sangat penting: “Mematuhi itu lebih baik daripada korban sembelihan.”
Ingatlah, Tuhan Maha Tahu — Dia tahu segala sesuatu, termasuk semua kebaikan dan kejahatan yang kita lakukan. Tuhan melihat hati kita. Jadi, lain kali apabila kamu berfikir, “Saya curi gula-gula ni sebab nak kongsi juga mah,” atau “Saya tipu sikit saja untuk menyenangkan hatinya”, fikir semula — Tuhan melihat dosa kamu. Tiada dosa yang baik atau yang buruk, dosa tetap dosa.
Renungkan: Apakah dosa yang sering kita lakukan tetapi kita fikir ia perkara yang baik? Adakah kamu fikir Tuhan akan menerima alasanmu?
Doa Hari Ini;
Ya Tuhan, terpujilah Nama Mu. Engkau tahu segala sesuatu dan melihat hatiku yang sebenar. Bentuklah saya dan ubahlah hati saya, ya Tuhan. Dalam nama Yesus saya berdoa. Amin.
Gereja:
Berdoa agar kita semakin mengenal Allah Bapa, Yesus, dan Roh Kudus apabila kita meluangkan masa membaca Alkitab setiap hari, kerana Alkitab menceritakan tentang mereka. (Baca Kolose 2:6-7)
Bangsa:
Berdoa agar kita tidak melabel bangsa lain sebagai pemalas, tamak, atau bodoh, tetapi menggunakan lidah kita untuk memuji dan memberi dorongan kepada sesama manusia.


Comments