Hari 3: Untuk Mengajar
- Komuniti Digital 06
- Aug 9
- 2 min read

Tarikh: 9 Ogos 2025
Ayat Fokus: Mazmur 25:12
Cikgu Musa selalu mengingatkan kelasnya, “Ini Malaysia. Minum lebih banyak air!” Dia berkata, “Cuaca panas, kamu berpeluh, jadi kamu perlu minum lebih banyak air!” Tetapi murid-muridnya tidak selalu mendengar nasihatnya.
Inilah yang terjadi kepada Gimbang. Dia pengsan di sekolah dan dibawa ke hospital dengan ambulans. Rakan sekelasnya, Ah Ming, Adam, Charlotte, dan Suzie berasa takut. Gimbang mengalami dehidrasi dan mendapat jangkitan dada kerana kekurangan air. Apa yang doktor beritahu kepadanya? “Minum lebih banyak air!” Jadi, Gimbang perlu minum lebih banyak air setiap hari. Dia juga perlu banyak berehat selama beberapa minggu sehingga dia sembuh.
Guru dan doktornya telah memberi arahan. Tetapi terpulang kepada murid murid dan pesakit itu untuk memilih mahu mematuhinya atau tidak. Ini sama seperti berjalan dalam takut akan guru dan doktor. Ini akan membantu mereka memilih untuk minum lebih banyak air walaupun tiada siapa yang memerhatikan mereka. Begitu juga, apabila kita berjalan dalam takut akan Tuhan, kita akan memilih untuk taat kepada arahan-Nya.
Dalam Alkitab, iaitu Firman Tuhan, kita menemui arahan-Nya. Ayat fokus hari ini memberitahu kita bahawa takut akan Tuhan mengajar kita jalan yang harus kita lalui. Kita mentaati kerana kita mengasihi dan menghormati Tuhan. Kita mentaati walaupun tiada siapa yang melihat kita. Inilah makna takut akan Tuhan. Sebagai pengikut Yesus, kita mempunyai Roh Kudus-Nya yang membantu kita untuk hidup dalam ketaatan ini setiap hari.
Renungkan: Takut akan Tuhan mengajar kita.
Doa Hari Ini:
Tuhan Yesus, saya adalah pengikut-Mu. Terima kasih atas arahan-Mu yang kami temui dalam Alkitab. Terima kasih atas kasih dan penjagaan-Mu. Semoga kasih dan hormat saya kepada-Mu akan bertumbuh apabila saya memilih untuk mengikuti jalan-Mu. Amin.
Gereja:
Berdoalah agar kita mendengar Firman Tuhan dan melakukan apa yang berkenan kepada-Nya, seperti menghormati dan mematuhi ibu bapa kita, menghormati guru-guru, serta membantu rakan rakan kita. (Baca Ulangan 10:12; 13:4)
Bangsa:
Berdoalah agar kerajaan Malaysia tetap stabil dan mempunyai masa yang mencukupi untuk melaksanakan usaha dalam menjadikan negara kita tempat yang lebih baik untuk didiami dan bekerja.
Comments