Hari 30: Yesus, Satu-Satunya Jalan
- Komuniti Digital 06
- Sep 5
- 2 min read

Tarikh: 5 September 2025
Ayat Fokus: Wahyu 20:11-15, terutamanya ayat 12
Dosa pertama Adam dan Hawa, penyembahan anak lembu emas, rungutan orang Israel walaupun Tuhan menjaga mereka, dan kegagalan mereka untuk mentaati perintah Tuhan, semuanya membawa kepada pemisahan daripada Nya. Apabila Yesus datang kembali, setiap daripada kita akan berdiri di hadapan Nya dan dihakimi atas dosa-dosa kita. Ini seperti kesalahan dalam ujian kita dibacakan di hadapan seluruh kelas!
Ya, memang menakutkan apabila kita memikirkan tentang penghakiman terakhir! Setiap dosa tersembunyi, setiap kesalahan yang pernah kita lakukan, semuanya akan didedahkan di hadapan Tuhan, tanpa dapat disembunyikan. (Ya, Tuhan memang pakar dalam bermain “sembunyi-sembunyi”, kerana Dia mengetahui segala sesuatu dan Dia ada di mana-mana!) Sama ada menipu, mencuri, menyembah berhala, atau tidak mentaati Tuhan, semuanya akan ditunjukkan kepada kita, dan kita layak dihukum.
Namun, masih ada harapan. Sama seperti orang Israel melihat kepada ular tembaga untuk disembuhkan, kita juga boleh melihat kepada Kristus. Melalui pengorbanan-Nya, nama kita akan ditulis dalam Kitab Kehidupan jika kita percaya kepada-Nya dan menerima-Nya sebagai Juruselamat. Tidak kira apa pun dosa yang telah kita lakukan, Yesus, dalam belas kasihan-Nya, telah menanggung semua hukuman kita dan berkata:
“Aku telah membayar untuk dosa dosamu; sekarang kamu BERSIH!”
Marilah kita menghafal ayat ini: “Allah begitu mengasihi dunia sehingga menganugerahkan Anak-Nya yang tunggal supaya setiap orang yang percaya kepada-Nya tidak binasa melainkan mendapat hidup kekal” (Yohanes 3:16)
Renungkan: Bukankah Allah itu pengasih? Semasa kita masih berdosa, Kristus telah mati untuk kita. Bayangkan betapa mengerikan jika kita tiada jalan keluar dan terpaksa menanggung hukuman dosa kita sendiri.
Doa Hari Ini:
Allah Bapa yang di syurga, kini saya memahami bahawa kasih setia-Mu tidak berkesudahan, rahmat Mu tidak pernah berakhir. Daripada menghukum saya, Engkau telah memberikan Anak-Mu kepada saya. Segala kemuliaan bagi Tuhan! Dalam nama Yesus saya berdoa. Amin.
Gereja:
Berdoa agar kita takut akan Tuhan dan mengikut Nya seumur hidup kita, walaupun banyak godaan dan pengaruh yang cuba membuat kita melupakan Yesus. (Filipi 2:12)
Bangsa:
Berdoa agar kerajaan kita menggunakan dana negara dengan bijaksana, dan laporan kewangan menjadi telus supaya rakyat Malaysia dapat mempercayai kerajaan dalam menguruskan dana awam.


Comments