Hari 31: “Marilah, Anak-anakku”
- Komuniti Digital 06
- Sep 6
- 2 min read

Tarikh: 6 September 2025
Ayat Fokus: Mazmur 34:8-11, terutamanya ayat 11
Setiap malam selepas makan, ayah dan ibu Charlotte akan mengumpulkan dia dan adik kembarnya, Chadwick dan Cheruba, untuk membaca Alkitab dan berdoa. Ayahnya seorang pastor dan ibunya seorang guru Sekolah Minggu. Kadang-kadang saat teduh itu agak panjang, tetapi mereka semua belajar tentang firman Tuhan dan bagaimana takut akan Tuhan sebagai satu keluarga.
Raja Daud mengajak anak-anaknya untuk melakukan perkara yang sama. Dia berkata, “Marilah anak-anak, dengar kata kataku; aku akan mengajarmu takut akan TUHAN.” (Mazmur 34:11) Dia mahu anak anaknya tahu bahawa Tuhan itu baik. Inilah warisan iman yang disampaikan dari satu generasi ke generasi yang berikutnya, seperti yang kita pelajari sebelum ini (rujuk Hari 6-10).
Di samping membaca Alkitab bersama, Charlotte, Chadwick dan Cheruba juga melihat ibu bapa mereka melayani dan menyembah Tuhan, bukan hanya di rumah dan gereja, tetapi juga dalam komuniti.
Seminggu sekali, mereka melawat dapur amal untuk memberi makanan kepada orang gelandangan, bercakap dengan mereka dan mencari cara untuk membantu. Kadang-kadang mereka mengunjungi rumah orang tua untuk membawa kegembiraan kepada warga emas. Mereka juga ramah dan mesra dengan jiran-jiran mereka. Tuhan suka melihat keluarga Kristian yang melayani bersama seperti ini.
Sepanjang empat hari akan datang kamu akan melihat perbezaan besar yang boleh dilakukan oleh keluarga dan seluruh isi rumah apabila mereka takut kepada Tuhan bersama-sama. Walaupun ibu bapa kamu bukan pastor, jika mereka takut akan Tuhan, mereka layak untuk mengajar kamu. Maka, dengarlah dan perhatikanlah ajakan mereka.
Renungkan: Apabila ibu bapa kamu berkata, “Marilah, anak-anakku,” adakah kamu bersedia mendengar, belajar, dan bekerjasama sebagai satu keluarga?
Doa Hari Ini:
Bapa Syurgawi, Engkau selalu baik kepada saya. Terima kasih atas ibu bapa saya yang mengajar saya untuk takut akan Engkau. Saya berdoa agar anak anak yang ibu bapanya tidak mengenal Tuhan akan menemukan seseorang yang dapat mengajar mereka secara tetap. Terima kasih kerana Roh Kudus-Mu juga mengajar kami melalui firman dalam Alkitab. Dalam nama Yesus, saya bersyukur. Amin.
Gereja:
Berdoa agar bapa-bapa akan mengasihi ibu-ibu seperti Kristus mengasihi Gereja dan menyerahkan diri-Nya untuknya, supaya kita belajar nilai keluarga yang berharga daripada mereka. (Baca Efesus 5:25,28)
Bangsa:
Harga barang semakin mahal, menyebabkan keluarga berpendapatan rendah sukar memenuhi keperluan asas. Berdoa agar kerajaan mengambil tindakan supaya mereka mempunyai makanan untuk dimakan, pakaian untuk dipakai dan rumah untuk didiami.


Comments