Hari 33: Sukacita dalam Rumah Tangga
- Komuniti Digital 06
- Sep 8
- 2 min read

Tarikh: 8 September 2025
Ayat Fokus: Kisah Para Rasul 16:14-15 dan 25-34
Paulus dan Silas telah ditangkap dan dimasukkan ke dalam penjara. Walaupun mereka disebat dan dibelenggu kerana Yesus, mereka tetap memuji Tuhan dengan pujian. Pada malam itu, satu gempa bumi berlaku dan pintu penjara terbuka, dan belenggu semua tahanan terlucut! Ketua penjara tahu bahawa dia akan dihukum berat jika semua tahanan melarikan diri. Dia hampir membunuh dirinya sendiri, tetapi Paulus berseru, “Jangan apa-apakan dirimu! Kami semua ada di sini.” Ketua penjara begitu terkejut dan bertanya, “Apa yang patut aku lakukan supaya diselamatkan?” Paulus menjawab:
“Percayalah kepada Tuhan Yesus, dan kamu akan diselamatkan, kamu dan seisi rumahmu.”
Seisi rumahmu! Tuhan suka bekerja dalam rumah tangga.
Ketua penjara percaya kepada Yesus, dia diselamatkan dan dibaptis. Tetapi bukan hanya dia — seluruh isi rumahnya juga! Hasilnya adalah sukacita!
Dia mengajak Paulus dan Silas ke rumahnya dan memberi mereka makanan. Alkitab mencatat bahawa ketua penjara itu: “amat sukacita kerana dia sekeluarga telah percaya kepada Allah”
Tahukah kamu tentang Surat Filipi dalam Alkitab? Surat ini sebenarnya adalah surat yang Paulus tuliskan kepada Lidia dan rumah tangganya, juga kepada ketua penjara dan rumah tangganya, yang dipercayai menjadi antara orang pertama yang memulakan gereja di Filipi. Jika kamu membaca surat ini, kamu akan melihat bahawa ia banyak berbicara tentang sukacita dan bersukacita, walaupun dalam keadaan sukar. Sukacita ini datang daripada mengenal Yesus dan takut akan Tuhan.
Renungkan: Biarlah sukacita memenuhi rumah tangga Kristianmu!
Doa Hari Ini:
Allah Yang Ajaib, masuk ke dalam rumah tangga Mu membawa sukacita melalui iman kepada Yesus Kristus. Perkara yang berlaku kepada ketua penjara dan rumah tangganya benar-benar luar biasa! Semoga rumah tanggaku juga dipenuhi dengan sukacita dan kegembiraan kerana percaya kepada-Mu. Dalam nama Yesus, saya berdoa. Amin.
Gereja:
Berdoa agar generasi yang lebih tua dalam setiap keluarga akan mengajarkan generasi muda tentang Tuhan. (Baca Mazmur 78:4)
Bangsa:
Berdoa agar pusat jagaan kanak-kanak dan taska akan menjadi tempat yang selamat untuk anak anak belajar, bermain, dan membina hubungan baik dengan orang lain.


Comments