Hari 35: Gereja di Rumahmu
- Komuniti Digital 06
- Sep 10
- 2 min read

Tarikh: 10 September 2025
Ayat Fokus: Filemon 1:2, 7, 20 & 22 dan Kolose 4:9
Dalam beberapa hari terakhir, adakah kamu perhatikan betapa banyaknya rumah yang digunakan sebagai gereja dalam Alkitab? Berikut adalah satu lagi contoh.
Kali ini, Paulus menulis surat kepada Filemon, memberitahunya dia mendapat banyak sukacita dan penghiburan dari kasih yang diberikan Filemon kepada semua orang salih yang datang ke gereja di rumahnya. Paulus mengatakan bahawa Filemon telah menyegarkan hati sekalian orang salih.
Kadangkala kita merasa lelah, sedih, atau putus asa. Betapa baiknya jika ada orang yang takut akan Tuhan yang dapat menguatkan dan membangkitkan semangat kita kembali! Nampaknya, Filemon sangat mahir dalam hal ini.
Kita tidak tiba-tiba menelefon seseorang dan berkata, “Saya mahu datang tinggal beberapa hari, siapkan bilik untuk saya!” Bayangkan jika Suzie tiba-tiba menelefonmu dan berkata dia akan tiba dalam dua minit — apakah kamu akan gembira menyambutnya? Biasanya, kita akan bertanya dulu apakah waktunya sesuai. Tetapi Paulus tahu dia boleh mengandalkan Filemon, jadi dalam suratnya, dia meminta agar sebuah bilik disediakan untuknya.
Filemon memiliki rumah dan juga anugerah keramahtamahan. Ini tentu menjadikan isteri, anak, dan seluruh rumah tangganya sibuk. Tetapi inilah yang dilakukan oleh keluarga yang takut akan Tuhan. Bersama-sama, mereka menyegarkan hati semua orang salih.
Renungkan: Apabila orang percaya datang ke rumahmu, bantulah untuk menyegarkan mereka kembali.
Doa Hari Ini:
Bapa Syurgawi, saya ingin menjadi sebahagian daripada rumah tangga Kristian yang menyegarkan hati orang salih. Saya tahu ini tidak mudah, tetapi dengan pertolongan-Mu, saya boleh melakukannya. Ajar saya bagaimana harus bertindak. Dalam nama Yesus, saya berdoa. Amin.
Gereja:
Berdoa agar para bapa dalam keluarga Kristian akan memimpin rumah tangga mereka untuk mengikuti Yesus dan melayani-Nya bersama sama sebagai satu keluarga. (Baca Yosua 24:15)
Bangsa:
Berdoa agar ibu bapa yang semakin tua dan mempunyai anak-anak yang belajar, bekerja, atau tinggal di luar negara tidak merasa sedih dan kesepian, tetapi menemukan sokongan dan persahabatan dalam komuniti mereka.


Comments