Hari 36: Kumpulkanlah Umat
- Komuniti Digital 06
- Sep 11
- 2 min read

Tarikh: 11 September 2025
Ayat Fokus: Ulangan 4:10; 31:12-13, Ezra 10:1 dan Nehemia 8:1-6,9,12 & 18
Saya berharap kamu telah banyak belajar tentang berjalan dalam takut akan Tuhan sekarang. Selepas hari ini, hanya tinggal empat hari lagi untuk Puasa dan Doa sebelum kita menyambut Hari Malaysia! Setakat ini, kita telah belajar bahawa ada berkat apabila kita hidup dalam takut akan Tuhan dan akibat apabila kita tidak melakukannya. Kita boleh takut akan Tuhan secara individu dan sebagai keluarga. Apabila setiap individu dalam sebuah keluarga membina asas yang kukuh dalam takut akan Tuhan, maka seluruh rumah tangga Kristian juga akan mempunyai asas yang kuat.
Jika semua rumah tangga Kristian yang kuat ini berkumpul di gereja, bayangkan betapa kuatnya gereja itu! Ini akan menjadi satu kesaksian besar kepada masyarakat tentang bagaimana mereka yang takut akan Tuhan sebagai satu gereja memilih untuk hidup.
Lihat kembali Hari Ke-31. Masih ingat seruan “Marilah, anak-anak-Ku”? Nah, ada seruan yang serupa kepada rumah tangga Kristian yang takut akan Tuhan, iaitu “Kumpulkanlah umat”. Ini bukan hanya untuk orang dewasa sahaja. Lelaki, wanita, anak-anak kecil, dan juga pelawat di bandar turut berhimpun untuk belajar takut akan Tuhan.
Dalam kitab Ezra, lelaki, wanita, dan anak anak berkumpul di sekelilingnya. Mereka mendengar Ezra berdoa dan menangis dalam pertaubatan atas kesalahan yang telah dilakukan. Semua orang pun mula menangis juga. Dalam kitab Nehemia, “semua orang berhimpun sebagai satu”. Mereka mendengar Ezra membaca Kitab Suci Taurat. Dan ia bukan hanya untuk satu jam sahaja, tetapi selama tujuh hari berturut-turut! Adakah kamu fikir kamu boleh bertahan di gereja selama itu? Orang-orang ini benar-benar mahu memahami Firman Tuhan. Mereka serius tetapi mempunyai sukacita yang besar.
Renungkan: Pastikan kamu berhimpun di gereja bersama rumah tangga lain yang takut akan Tuhan.
Doa Hari Ini:
Bapa yang di Syurga, semoga hati setiap rumah tangga Kristian mempunyai keinginan yang kuat dan sungguh-sungguh untuk berkumpul di gereja bagi mendengar Firman-Mu dibacakan dan diterangkan dengan tulus. Semoga rumah tangga keluarga saya juga ada di sana bersama. Dalam nama Yesus saya memohon. Amin.
Gereja:
Berdoa agar anak-anak Sekolah Minggu mengasihi negara, komuniti, dan kejiranan kita dengan berdoa untuk mereka dan melayani mereka. (Baca 1 Timotius 2:1-2)
Bangsa:
Berdoa agar mereka yang mendera kanak kanak dihukum di bawah undang-undang Malaysia, dan agar ibu bapa serta kanak-kanak diajar bagaimana untuk mengelakkan penderaan.


Comments