Hari 4: Harus Memilih
- Komuniti Digital 06
- Aug 10
- 2 min read

Tarikh: 10 Ogos 2025
Ayat Fokus: Mazmur 25:12 & 32:8
Tidak mudah untuk memahami apa maksud berjalan dalam takut akan Tuhan. Berikut adalah satu contoh yang mungkin akan membantu.
Bayangkan Ah Ming sedang duduk di meja makan, membuat kerja sekolah. Tetapi dalam hatinya, dia sangat ingin bermain permainan video. Ibunya juga berada di situ, menggosok pakaian sekolahnya dan adiknya. Dia sedang memerhatikan Ah Ming. Ah Ming mendongak dan melihat tatapan mata ibunya. Mata ibunya tertuju kepada kerja sekolahnya. Ah Ming mengeluh dan meneruskan tugasnya.
Ibu Ah Ming sedang membimbingnya dengan matanya, dan dia memilih untuk melakukan apa yang harus dilakukan. Tiba-tiba ibunya berkata, “Ibu hendak keluar sebentar untuk menguruskan sesuatu. Teruskan kerja sekolahmu dan bantu adikmu, Sze Hwa, jika perlu.”
Di dalam hatinya, Ah Ming masih mahu bermain permainan video. Tetapi dia tahu apa yang harus dia lakukan, iaitu mematuhi arahan ibunya. Jadi, walaupun ibunya tidak ada di rumah, dia tetap meneruskan kerja sekolahnya, bahkan membantu adiknya.
Ini bukan kerana ibu bapa atau Tuhan bersikap keras terhadap kita. TIDAK! Sebaliknya, mereka mengasihi kita dan mahukan yang terbaik untuk kita. Begitu juga, berjalan dalam takut akan Tuhan membantu kita untuk taat, bukan kerana kita takut dihukum, tetapi kerana kita sangat menghormati-Nya. Ia seperti Tuhan membimbing kita dengan mata-Nya. Kita memilih apa yang harus kita lakukan.
Renungkan: Takut akan Tuhan membantu saya memilih apa yang harus saya lakukan.
Doa Hari Ini:
Abba Bapa, terima kasih atas kasih-Mu dan mata Mu yang membimbing saya untuk memilih apa yang sepatutnya. Ini membantu saya untuk menjauhi masalah. Terima kasih atas pelajaran dalam belajar hikmah yang lebih besar. Dalam nama Yesus saya bersyukur. Amin.
Gereja:
Berdoalah agar penyembahan, ucapan syukur, dan pujian menjadi gaya hidup kita. Berdoalah agar ketika kita bimbang, kita menyembah Tuhan. Ketika kita sedih, kita bersyukur kepada-Nya. Dan ketika kita lemah, kita memuji Yesus. (Baca 2 Tawarikh 20:29)
Bangsa:
Berdoalah agar para penjawat awam di Malaysia tidak terlibat dalam rasuah, tetapi menjalankan tugas mereka dengan baik serta memiliki sikap yang benar.
Comments