Hari 5: Menghafal
- Komuniti Digital 06
- Aug 11
- 2 min read

Tarikh: 11 Ogos 2025
Ayat Fokus: Mazmur 25:12 & Mazmur 119:11
Gimbang dan rakan-rakannya sangat teruja mendapat guru Sekolah Minggu yang baru. Namanya Cikgu Hannah, yang juga merupakan guru Bahasa Inggeris mereka. Para pelajar menyukainya kerana dia selalu mencari cara untuk menjadikan hafalan ayat Alkitab lebih mudah dan menyeronokkan.
Pada suatu Ahad, Cikgu Hannah memberikan setiap mereka sekeping kertas dan sebatang pen. Dia berkata, “Tulis ayat hafalan Mazmur 25:12.” Mereka pun menulisnya. Kemudian dia berkata, “Sekarang cari semua kata kerja. Kata kerja ialah perkataan yang menunjukkan tindakan,” dia menerangkan.
“Oh, ini susah,” Suzie mengeluh. Namun, dia tetap mengambil pen penanda dan melakukan seperti yang diminta.
Kata kerja yang mereka temui menunjukkan apa yang Tuhan akan lakukan untuk kita dan bagaimana Dia akan membantu kita melakukan apa yang sepatutnya. Bolehkah kamu menemuinya juga? Kata kerja itu ialah ‘takut,’ ‘mengajar,’ dan ‘pilih’. “Apabila kamu melihat kata-kata ini seperti kepingan teka teki jigsaw, kamu akan dapat menyusunnya dengan indah.” Kemudian Cikgu Hannah bertanya, “Sekarang, apakah tindakan yang perlu kita lakukan dan apakah tindakan yang Tuhan akan lakukan?”
Adam segera menjawab, “Kita perlu takut akan Tuhan dan memilih untuk melakukan apa yang Dia ajarkan.” Suzie pula menambah, “Tuhan akan mengajar kita tentang apa yang harus kita pilih.” “Kamu berdua betul!” kata Cikgu Hannah. “Sekarang, bacalah bahagian soalan dalam ayat ini secara perlahan sebanyak lima kali, kemudian tutup dengan tangan kamu dan cuba sebutkannya tanpa melihat. Lakukan perkara yang sama untuk bahagian kedua, kemudian gabungkan semuanya. Jangan lupa rujukan ayatnya juga.”
Satu demi satu, mereka berjaya menghafal dan menyebut ayat itu. Cikgu Hannah mengucapkan tahniah kepada mereka, “Syabas! Sekarang, simpanlah ayat-ayat ini dalam hati kamu dan pilihlah untuk melakukan apa yang sepatutnya supaya kamu tidak berdosa. Apabila kamu mengikut Yesus dan berjalan dalam takut akan Tuhan, kamu akan mendapat lebih banyak hikmah yang ilahi.”
Renungkan: Hafalkan Mazmur 25:12 untuk mendapatkan lebih banyak hikmah yang ilahi.
Doa Hari Ini: Tuhan Yesus, terima kasih kerana mengajar kami melalui firman-Mu yang penuh hikmah. Sebagai pengikut-Mu, saya memilih untuk menyimpan firman Mu dalam hati saya dan mentaatinya supaya saya tidak berdosa terhadap Engkau. Terima kasih atas kasih dan penjagaan-Mu. Dalam nama-Mu saya bersyukur. Amin.
Gereja:
Berdoalah agar kita tidak membiarkan telefon pintar, permainan komputer, dan media sosial seperti YouTube, XiaoHongShu, Threads, TikTok, dan Instagram mengalihkan kasih kita kepada Tuhan serta mengurangkan waktu kita untuk membaca dan merenungkan Firman Nya. (Baca Yosua 24:14)
Bangsa:
Berdoalah agar sesiapa sahaja dalam sektor kerajaan dan dunia perniagaan yang terlibat dalam rasuah akan dikenakan hukuman, serta tiada sesiapa yang dapat menghalang siasatan oleh pihak polis atau agensi anti rasuah
Comentários