top of page

Hari 6: Pohon Keluarga

ree

Tarikh: 12 Ogos 2025

Ayat Fokus: Mazmur 61:5-6 & Ulangan 6:2-9


Pernahkah kamu membuat pohon keluarga kamu sendiri? Seronok dan menarik, bukan? Kamu boleh melihat susur galur datuk dan nenek, ibu bapa, dan diri kamu sendiri. Apabila kamu dewasa kelak, kemungkinan besar kamu akan mempunyai anak sendiri. Jika kamu hidup lama, kamu mungkin juga akan melihat cucu atau cicit kamu. Jika kamu melukis semua ini dalam satu pohon keluarga, kamu akan mempunyai enam generasi!


Setiap kali terdapat satu tahap baru, kita memanggilnya sebagai ‘generasi’. Kamu mungkin mempunyai gambar ketika kamu masih bayi: kamu, ibu dan bapa kamu, datuk dan nenek kamu, serta moyang kamu. Sangat menarik apabila dapat menghubungkan sehingga empat generasi melalui keluarga sebelah bapa atau ibu kamu.


Yang lebih penting ialah jika setiap generasi telah mengajar generasi seterusnya untuk hidup dalam takut akan Tuhan. Keluarga akan diberkati apabila perkara ini berlaku. Inilah yang kita panggil sebagai ‘berkat generasi’.


Ini juga dikenali sebagai warisan rohani. Ia adalah sesuatu yang sangat istimewa yang diwariskan daripada satu generasi kepada generasi seterusnya — seperti perlumbaan 4 x 100 meter apabila pelari menyerahkan baton kepada pelari seterusnya.


Takut akan Tuhan akan membawa berkat besar yang menjadi sebahagian daripada warisan ini. Menikmati umur yang panjang dan menjalani kehidupan suci yang berkenan kepada Tuhan adalah antara beberapa berkat ini.


Renungkan: Apakah warisan yang akan saya turunkan kepada generasi seterusnya?


Doa Hari Ini:

Bapa di syurga, Engkau adalah Bapa yang agung dan penuh kasih kepada anak anak-Mu. Melalui Yesus, Engkau telah memberikan kami satu warisan yang sangat berharga. Semasa saya berjalan dalam takut akan Tuhan, bimbinglah saya untuk hidup suci dan berkenan di hadapan Mu, supaya saya dapat mewariskan iman ini kepada generasi yang akan datang. Amin.


Gereja:

Berdoalah agar kita, bersama ahli keluarga kita, mengamalkan apa yang kita pelajari daripada Firman Tuhan dan saling menggalakkan untuk menaati ajaran Alkitab dalam kehidupan seharian. (Baca Ulangan 6:7-9)


Bangsa:

Berdoalah agar harga minyak serta barangan import dan eksport dikawal dengan baik oleh kerajaan supaya Malaysia menjadi sebuah negara yang menarik untuk pelaburan dari negara-negara lain.

Comments


bottom of page