Hari 7: Meneruskan Baton
- Komuniti Digital 06
- Aug 13
- 2 min read

Tarikh: 13 Ogos 2025
Ayat Fokus: Ulangan 6:2-9, 13, 19, 24-25
“Buka Alkitab kamu ke Ulangan 6,” arah Cikgu Hannah kepada kelas Sekolah Minggunya. “Mari kita cari lebih banyak kata kerja.”
“Uhhhhh!” seluruh kelas mengeluh serentak. Cikgu Hannah tersenyum tetapi tetap meneruskan, “Mari kita belajar bagaimana datuk nenek dan ibu bapa kita membantu meneruskan baton dalam berjalan dalam takut akan Tuhan. Ayat 6-9 mengandungi kata-kata kunci, bolehkah kamu menemuinya?”
Charlotte menjawab, “Ajarkan, bicarakan, ikatkan, dan tuliskan.”
“Betul! Tetapi kita tidak boleh berhenti di situ. Kita mesti benar-benar mengikut arahan ini dan tidak melupakan Tuhan,” jelas Cikgu Hannah. “Orang yang lebih tua mengajar anak-anak dan cucu mereka tentang firman Tuhan. Tetapi mereka sendiri mesti patuh dahulu sebelum mengajarkannya kepada kamu. Apabila kita melayani Tuhan, berkat generasi akan datang.”
“Lebih daripada itu, kamu akan menerima hikmah, pengetahuan tentang Tuhan, dan seperti yang dinyatakan dalam ayat 25, apabila kamu setia mentaati Tuhan, kamu akan dinyatakan benar dengan kebenaran Tuhan sendiri. Berjalan dalam takut akan Tuhan membantu kita menjadi suci kerana Tuhan adalah suci. Itulah yang dilakukan oleh seorang anak Tuhan.”
Cikgu Hannah menambah, “Jika kamu adalah orang pertama dalam keluargamu yang mengikut Yesus Kristus, jangan risau. Warisan ini boleh bermula dengan kamu. Tidak kira di mana kamu berada dalam pohon keluargamu, kamu masih boleh meneruskan baton ini. Malah, kamu mungkin boleh mengajar orang tua kamu sendiri, tetapi lakukan dengan penuh hikmat. Banyak kali, cara kita hidup akan menunjukkan bahawa kita benar benar takut akan Tuhan, tanpa perlu mengatakannya secara langsung.”
Renungkan: Sentiasa membaca dan menaati Firman Tuhan untuk menjadi lebih suci.
Doa Hari Ini:
Bapa Syurgawi, terima kasih untuk ibu bapa dan datuk nenek yang setia dalam meneruskan warisan berjalan dalam takut akan Engkau. Saya ingin menjadi setia seperti mereka dengan belajar daripada teladan mereka. Bimbinglah saya untuk hidup suci dan menjadi contoh bagi generasi yang akan datang. Dalam nama Yesus saya berdoa. Amin.
Gereja:
Berdoalah agar kita mematuhi ibu bapa kita seperti kita taat kepada Tuhan, serta mencari cara untuk membantu mereka yang memerlukan dan melayani Tuhan bersama sama. (Baca 2 Timotius 1:5)
Bangsa:
Berdoalah agar nilai Ringgit terus meningkat supaya kehidupan kita semua menjadi lebih baik dan lebih mudah, dengan kos sara hidup yang tidak terus meningkat.
Comments