Hidup Benar, Jangan Hidup Bertopengkan Kejahatan
- Komuniti Digital 05

- Jul 25
- 1 min read

“Apa sahaja yang kamu katakan secara rahsia akan didengar secara terang-terang, dan apa yang kamu bisikkan di dalam bilik tertutup akan diumumkan dari atas bumbung.” Lukas 12:3 AVB
Pada suatu hari tidak terkira ramainya orang berkerumun untuk mendengar ajaran Tuhan Yesus. Dia pun berkata kepada mereka bahawa mungkin mereka memberitahukan sesuatu kepada orang lain secara diam-diam tetapi hal itu akan terdengar dengan jelas pada satu hari nanti. Demikian juga apa yang dibisikkan mereka kepada orang lain di dalam bilik tertutup secara peribadi akan tersiar ke mana-mana jua.
Hal ini bermaksud bahawa apa yang dikatakan atau dilakukan mereka dengan sembunyi-sembunyi lambat-laun pasti akan tersingkap atau terbongkar kerana Allah Yang Maha Kuasa mendengar dan melihat segala-galanya. Tiada apa yang tidak diketahui Allah. Itulah sebabnya Yesus berkata kepada mereka bahawa apa yang dikatakan mereka dalam kegelapan, semuanya akan kedengaran dalam terang.
Sebenarnya manusia tidak akan berhasil untuk mengawal dan menghapuskan kejahatan dalam hati mereka. Walaupun mereka menggunakan agama sebagai topeng untuk menutupi segala muslihat atau kejahatan dalam hati, segalanya pasti akan terbongkar pada satu hari nanti.
Oleh itu, janganlah kita suka mengatakan hal-hal di belakang orang lain kerana setiap tutur kata dan tindak-tanduk kita pasti akan terdedah dan dihakimi kemudian hari. Seperti kata peribahasa Melayu “sepandai-pandainya tupai melompat akhirnya akan jatuh ke tanah juga.”
Akhir kata, marilah kita mengikis tabiat untuk menggosipkan hal orang lain atau menyembunyikan kejahatan kita atau bermuka-muka kerana pada waktu tertentu pasti akan pecah tembelang juga. Tiada sesuatu pun yang tersembunyi tidak akan dinyatakan, dan tiada sesuatu rahsia pun yang tidak akan didedahkan. Biarlah kita menjalani hidup yang benar dan menyenangkan hati Allah.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, ajarlah aku untuk hidup benar dan tidak menyembunyikan kejahatan atau menceritakan hal orang lain. Tolonglah aku hidup akrab dengan-Mu dan memuliakan Engkau dalam segala perkara. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie




Comments