Hidup Bersatu Dalam Kristus
- 21 hours ago
- 2 min read

Oleh itu, jika ada galakan kerana bersatu dalam Kristus, jika ada penghiburan hati kerana kasih-Nya, jika ada keakraban dalam Roh, jika ada lemah lembut dan belas kasih, ... Filipi 2:1 AVB
Rasul Paulus menggesa saudara saudari dalam Kristus di Filipi untuk bersatu padu dengan mengemukakan empat klausa “jika”, iaitu jika ada galakan kerana bersatu dalam Kristus, jika ada penghiburan hati kerana kasih-Nya, jika ada keakraban dalam Roh, dan jika ada lemah lembut dan belas kasih. Keempat-empat klausa ini menandakan satu hakikat bahawa mereka telah mengalami semua itu dalam Kristus setelah mengakui-Nya sebagai Penyelamat dan Tuhan.
Pertama, saudara saudari dalam Kristus memperoleh galakan kerana hidup bersatu dengan Kristus. Dalam liku-liku hidup Allah sentiasa menguatkan dan menghibur diri mereka. Kedua, dalam suka duka mereka boleh yakin akan ketenangan dan penghiburan yang dicurahkan kepada mereka atas kasih Allah. Galakan dan penghiburan yang diberikan atas kasih patut menyebabkan jemaah di Filipi untuk tidak berpecah belah tetapi berganding bahu untuk menjayakan misi pelayanan mereka.
Ketiga, mereka dapat menikmati persaudaraan satu sama lain melalui Roh Kudus yang tinggal dalam diri masing-masing. Betapa indahnya bahawa saudara saudari seiman ada keakraban dalam Roh. Keempat, atas penguasaan Roh Kudus dalam hidup mereka, maka mereka dapat saling mengambil berat, saling mengasihi dan saling berbelas kasihan.
Hidup bersatu dalam Kristus membawa perubahan besar lagi bermakna. Begitu juga dengan kita. Sekiranya kita mahu meneladani Paulus dan jemaah di Filipi, maka kita haruslah menjalani hidup yang bersatu dengan Kristus. Oleh sebab kita sudah mengalami kasih dan penghiburan Allah, kita hendaklah hidup bersatu padu dan berbelas kasih dengan saudara saudari seiman untuk memuliakan Allah.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, terima kasih kerana menerima aku untuk menjadi anak-Mu. Walaupun aku seorang yang berdosa, namun Engkau menyelamatkan dan mengampuni aku. Dalam-Mu aku diberi kekuatan untuk menghadapi segala keadaan. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie




Comments