top of page

Hidup Ialah Kristus

  • 3 hours ago
  • 2 min read

 

Kerana bagiku, hidup ialah Kristus, ...  Filipi 1:21a AVB

 

Rasul Paulus berkata kepada saudara saudari dalam Kristus di Filipi bahawa bagi dirinya secara peribadi, hidupnya adalah untuk mengabdi kepada Tuhan Yesus Kristus. Tidak kira apa-apa jua yang berlaku kepada Paulus, imannya tetap teguh dan langsung tidak tergoyah. Hal ini bermaksud bahawa tujuan utama hidup Paulus hanyalah demi Kristus.

 

Itulah sebabnya Paulus menulis kepada jemaah di Filipi dan juga kepada kita pada hari ini bahawa hidupnya merupakan kesempatan untuk mengabdi kepada Allah. Dia mengutamakan Allah dalam segala perkara dalam hidupnya. Sebelum Paulus bertemu dengan Tuhan Yesus secara peribadi, hidupnya penuh dengan dosa. Dia pernah menganiayai para pengikut Tuhan Yesus malah membunuh mereka di samping mengikat dan memenjarakan mereka, baik lelaki mahupun perempuan.

 

Setelah Paulus bertemu dengan Yesus secara peribadi dalam perjalanannya ke Damysik, hidupnya berubah sepenuhnya. Dia tidak lagi menoleh ke belakang tentang siapa dirnya yang lalu secara lahiriah. Dia berkata kepada saudara saudari dalam Kristus di Filipi bahawa hidupnya sekarang ini hanyalah untuk mengabdi kepada Kristus. Dia bertekad untuk melayani dan mencerminkan Yesus.

 

Bagi Paulus, apa yang terpenting hanyalah hidup untuk melayani Kristus, biarpun dia dimasukkan ke dalam penjara kerana memberitakan Kristus dan Injil-Nya. Semua penderitaan dan penganiayaan tidak sekali-kali dapat menggugat imannya kepada Tuhan Yesus kerana hidup ialah Kristus Yesus.

 

Bagaimanakah dengan diri kita pada hari ini? Siapakah Yesus dalam hidup kita saat ini? Apakah melayani atau mengabdikan diri kepada Tuhan Yesus lebih baik daripada segala-gala yang ada dalam hidup kita? Relakah kita menyerahkan seluruh jiwa raga kita dan melepaskan kepentingan diri kita kepada Allah?

 

Doa:

Ya Bapa yang di syurga, terima kasih kerana menerima diriku untuk menjadi hamba-Mu. Walaupun aku sebenarnya tidak layak dan serba kekurangan, tetapi atas anugerah dan kasih kurnia-Mu Engkau menerima aku untuk melayani-Mu. Kuatkan dan upayakanlah aku untuk melaksanakan kehendak-Mu demi kemuliaan-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.

Comments


bottom of page