top of page

Hubungan Iman & Kata-Kata


Lukas 17:6 - TB

Jawab Tuhan: “Kalau sekiranya kamu mempunyai iman sebesar biji sesawi saja, kamu dapat berkata kepada pohon ara ini: Terbantunlah engkau dan tertanamlah di dalam laut, dan ia akan taat kepadamu.”

 

Iman dimanifestasikan melalui kata-kata. Iman sendiri tidak dapat dilihat, dirasa, disentuh, dihidu mahupun didengar kerana iman merupakan sesuatu yang abstrak. Tetapi kata-kata kita boleh memberikan rupa kepada iman. Melalui kata-kata, kita boleh merasakan impak iman sehingga akhirnya iman boleh difahami dan dirasakan oleh organ deria kita. Itulah kuasa kata-kata. Namun kata-kata kita perlu dihubungkan dengan iman sekiranya kita ingin melihat kuasa yang mengubah hidup kita yang mematahkan segala belenggu dan penghalang kehidupan.

 

Jadi, ada hubungan antara iman dan kata-kata. Keduanya tidak boleh berdiri sendiri. Apakah hubungan antara iman dan kata-kata? Saya menggambarkannya seperti ini; hubungan tuan dan hamba. Dalam hubungan ini, tuan ialah iman dan hamba ialah kata-kata. Maksudnya, kata-kata kita perlu tunduk kepada iman seperti mana hamba perlu tunduk dan taat kepada tuannya.

 

Tapi iman itu hanya sebesar biji sesawi saja? Perlukah kata-kata tunduk kepada benda sekecil ini? Ya perlu. Itulah sebabnya perlu kerendahan hati untuk tunduk kepada iman, tunduk kepada pendengaran firman Tuhan kerana iman timbul dari pendengaran firman (Rom 10:17). Orang yang ego atau sombong sukar memahami perkara ini. Kita dikehendaki untuk cepat mendengar dan bukan untuk cepat berkata-kata (Yak 1:19).

 

Hanya ketika kata-kata kita tunduk kepada iman, barulah kata-kata kita berbeza. Ramai orang membiarkan kata-katanya hanya tunduk kepada fikirannya atau hanya menurut perasaan emosinya sahaja. Tuan bagi kata-kata mereka bukannya iman tetapi fikiran atau perasaan yang seringkali berubah-ubah. Akhirnya, kata-kata tidak menjadi berkuasa lagi, bahkan yang ada adalah kata-kata yang menyakitkan, yang hambar dan menjatuhkan orang lain. Hanya iman sahaja yang mampu memberi kuasa untuk membantun (mencabut) dan menanam sesuai firman Tuhan di atas. Dalam erti kata lain, kata-kata yang berasal daripada iman sajalah yang mampu mengalihkan hal-hal yang tidak baik dalam kehidupan kita.

 

Makin banyak merenungkan atau mendengarkan firman akan menyebabkan makin banyak timbul iman. Iman ini akan memperkayakan kata-kata kita sehingga kata-kata kita membawa perbezaan dalam hidup kita sendiri mahupun orang lain. Janganlah memandang rendah kuasa kata-kata kita kerana hidup dan mati kita dikuasai oleh lidah (Ams 18:21). 

 

Pr Roy Dinsim

bottom of page