top of page

Iblis Diizinkan Untuk Menguji Mereka

 

“Simon, Simon, dengarlah! Iblis telah mengemukakan tuntutan untuk menampi kamu seperti gandum.Lukas 22:31 AVB

 

Semasa jamuan Paskah yang terakhir, Tuhan Yesus makan bersama-sama dua belas orang murid-Nya. Yesus berkata bahawa Iblis telah mengemukakan tuntutan untuk menampi Simon, iaitu Petrus dan murid-murid yang lain seperti gandum. Tujuan Iblis sebagai musuh Allah adalah untuk menggoncangkan iman mereka supaya mereka berpaling tadah.

 

Dengan kata lain, Yesus memberitahu Simon Petrus tentang rancangan Iblis terhadap dirinya. dan murid-murid-Nya yang lain. Iblis telah mendapat kebenaran daripada Allah untuk menguji mereka semua dengan menggunakan cara seperti petani memisahkan gandum daripada sekam. Apa yang bernilai dan dikehendaki akan diasingkan daripada yang tidak bernilai dan tidak dikehendaki sebagaimana gandum dibersihkan daripada kulit, hampas dan lain-lain dengan tampi yang digerak-gerakkan dengan tangan petani.

 

Iblis menuntut agar dia menampi mereka dengan cubaan, kesulitan, penganiayaan dan penderitaan selain berusaha keras menggoda mereka untuk berbuat dosa. Semua ini merupakan serangan rohani terhadap iman mereka. Yang penting diperhatikan ialah Iblis hanya dapat mencubai pengikut-pengikut Yesus atas keizinan daripada Allah. Tanpa izin daripada-Nya, Iblis tidak boleh mencubai mereka. Oleh itu, cubaan daripada Iblis tidak sekali-kali memusnahkan mereka sekiranya mereka tidak membuka hati mereka kepada Iblis.

 

Demikianlah dengan diri kita terhadap cubaan yang kita lalui dalam hidup pada hari ini. Semuanya sama sekali tidak akan membinasakan kita tetapi akan memurnikan kita untuk menjadi lebih kuat dan teguh dalam iman kita. Jadi, taatlah kepada Allah. Lawanlah Iblis, maka Iblis akan lari daripada kita. Dampingi Allah dan Allah akan mendampingi kita.

 

Doa:

Ya Bapa yang di syurga, aku lemah tetapi Engkau kuat. Teguhkanlah imanku sewaktu aku melalui pelbagai cubaan dan godaan dalam hidup ini. Biarlah imanku tidak goyah tetapi bersauh pada firman dan janji-janji-Mu. Pimpinlah aku dalam perjalanan hidupku ini. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page