top of page

Ikut Dan Lakukan Menurut Yang Diperintah-Nya

ree

'Mereka pun pergi dan mendapati sebagaimana yang telah dikatakan Yesus kepada mereka. ' (Lukas 19:32) AVB


Setelah Yesus menceritakan perumpamaan itu kepada pengikut-pengikut-Nya, Dia pun pergi mendahului mereka ke Yerusalem. Ketika Dia sudah dekat Betfage dan Betania, di bukit bernama Bukit Zaitun, Dia menyuruh dua orang pengikut-Nya pergi terlebih dahulu ke Yerusalem untuk mengambil seekor keldai yang terikat bersama anaknya untuk ditunggangi-Nya.


Yesus memberitahu kedua pengikut-Nya tentang apa yang harus mereka lakukan dan apa yang akan mereka temui. Setelah menerima perintah Yesus, kedua-duanya pun pergi ke desa di depan mereka. Sewaktu mereka masuk ke dalam desa itu, mereka mendapati bahawa apa yang diberitahu oleh Yesus kepada mereka benar dan tepat.


Mereka menemui keldai dan anaknya yang terikat, yang belum pernah ditunggangi oleh sesiapa. Dengan itu mereka melepaskan talinya dan membawa keldai itu kepada Yesus untuk ditunggangi. Ketika mereka melepaskan keldai itu, ada orang bertanya sebab mereka melepaskannya. Mereka menjawab, “Tuhan memerlukannya.”


Setelah mendengar jawapan itu, orang tersebut membiarkan mereka membawa keldai itu kepada Yesus. Apabila kedua pengikut Yesus merenungkan hal itu, mereka sedar bahawa segala-galanya berlaku tepat seperti yang dikatakan oleh Yesus.


Oleh itu, sekiranya Tuhan Yesus menyuruh kita melakukan sesuatu perkara, janganlah kita khuatir dan ragu untuk pergi dan melakukannya, kerana Tuhan tahu apa yang ada di hadapan kita. Ikut dan taatilah setiap perintah Tuhan Yesus tanpa memberikan banyak alasan.


Doa: Tuhan, ajarlah aku untuk melakukan segala perkara yang Engkau perintah kepada aku tanpa ragu dan tanpa khuatir, kerana Engkaulah Tuhan yang tahu apa yang terbaik bagi diriku. Singkirkanlah segala kekhuatiran dan keraguan daripada hatiku. Di dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa, amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page