Ikut Teladan Yesus: Taat Hingga Kepada Kematian
- Apr 24
- 1 min read

Dalam keadaan sebagai manusia, Dia telah merendahkan diri-Nya dan taat hingga kepada kematian, bahkan kematian di salib! Filipi 2:8 AVB
Rasul Paulus menegaskan bahawa sikap saudara saudari dalam Kristus di Filipi hendaklah seperti sikap Tuhan Yesus Kristus. Dia datang ke dunia sebagai manusia. Dia merendahkan diri-Nya dan hidup dengan taat setia kepada Allah Bapa. Meskipun taat setia-Nya membawa diri-Nya sampai kepada kematian, tetapi Dia tidak berganjak sama sekali daripada kayu salib. Itu bukan kematian biasa pula.
Yesus yang datang ke dunia dengan rupa manusia telah mengajar murid-murid-Nya tentang ketaatan-Nya kepada rancangan Allah Bapa bagi diri-Nya. Dari permulaan Yesus taat kepada Bapa, sehingga kepada pengakhiran hidup-Nya. Hal ini berkata kepada kita bahawa ketaatan seseorang kepada Allah tidak boleh berubah mengikut keadaan dan waktu. Sesungguhnya, dia harus taat sehingga akhir hidupnya.
Demikianlah dengan diri seseorang yang sudah hidup bersatu dengan Kristus. Dia harus taat kepada Allah supaya dia mengakhiri perlumbaan imannya di dunia ini dengan baik meskipun dia mungkin menghadapi tentangan, celaan, penderitaan, dan penganiayaan. Apa yang sangat penting bagi seseorang yang hidup bersatu dengan Kristus ialah bagaimana dia mengakhiri perlumbaan hidupnya.
Marilah kita meneladani Tuhan Yesus dalam hidup kita. Sungguhpun Dia Anak Allah, namun Dia belajar untuk taat melalui segala penderitaan-Nya. Yesus telah menebus kita daripada laknat hukum Taurat itu dengan menanggung laknat itu untuk kita, kerana telah tersurat: “Terlaknatlah setiap orang yang tergantung pada kayu salib. Dia disalib untuk menebus kita supaya setiap orang yang percaya kepada-Nya tidak binasa melainkan mendapat pengampunan dosa dan hidup kekal.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, aku bersyukur kerana memperoleh pengampunan daripada-Mu. Aku datang menyerahkan seluruh hidupku kepada-Mu. Tolonglah aku untuk menjadi hamba-Mu yang taat setia sehingga akhir hidupku. Meskipun aku harus melalui pelbagai cabaran tetapi imanku tidak akan berubah kerana aku yakin akan pertolongan-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie



Comments