Iman Beberapa Orang Menggerakkan Hati Yesus
- Komuniti Digital 03
- Mar 6
- 1 min read

Ketika Yesus melihat iman mereka, Dia berkata kepada orang lumpuh itu, “Saudara, dosamu sudah diampunkan.” Lukas 5:20 AVB
Pada suatu hari Yesus sedang mengajar di sebuah rumah. Beberapa orang datang mengusung seorang lumpuh yang berbaring di atas tikar dan mereka mencari jalan untuk membawanya ke dalam rumah supaya mereka dapat meletakkannya di hadapan Yesus. Sayangnya, usaha mereka gagal kerana ramai orang bersesak-sesak di sekeliling Yesus.
Oleh itu, mereka membawa orang lumpuh yang berbaring di atas tikar ke atas bumbung rumah itu. Kemudian mereka membuka genting supaya dapat menurunkan orang lumpuh itu dengan tikarnya sekali di hadapan Tuhan Yesus di tengah-tengah orang ramai.
Ketika Yesus melihat iman mereka, Dia berkata kepada orang lumpuh itu, “Saudara, dosamu telah diampunkan.” Yesus menyaksikan betapa besarnya iman kawan-kawan orang lumpuh itu, maka hati Yesus tergerak untuk menyembuhkannya. Selepas itu, Yesus juga berkata kepada orang lumpuh itu, “Aku berkata kepadamu, bangun, angkat tikarmu, dan pulanglah!”
Seketika itu juga, dia bangun di hadapan mereka sekalian. Dia mengangkat tikar tempat dia berbaring tadi lalu pulang sambil memuji Allah.
Demikian juga dengan diri kita pada hari ini. Janganlah kita mudah menyerah kalah kepada halangan yang sedang kita hadapi kerana dalam segala perkara pasti ada jalan keluar yang disediakan Tuhan untuk kita. Berimanlah kepada Tuhan Yesus kerana iman kita akan menggerakkan Roh Kudus untuk bekerja bagi pihak kita.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu dan memohon agar Tuhan memberi aku hati yang teguh dan tetap percaya kepada-Mu. Walaupun banyak cabaran yang harus aku harungi, tidak ada apa-apa yang terlalu sukar bagi-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie
Comments