Jadi Penolong Dalam Kesusahan
- 2 hours ago
- 2 min read

Namun demikian kamu telah berbuat baik dengan mengambil bahagian dalam kesusahanku. Filipi 4:14 AVB
Rasul Paulus memuji saudara saudari dalam Kristus di Filipi kerana mereka telah bermurah hati memberi dirinya pertolongan ketika dia menghadapi keperluan tertentu. Oleh itu, Paulus begitu bersukacita dan berterima kasih kepada mereka kerana mereka berbuat baik dengan mengambil bahagian dalam kesusahannya.
Betapa bersukacitanya Paulus kerana mereka telah memberikan respons yang sewajarnya sewaktu dia dalam kesusahan. Kesyukuran memenuhi hati Paulus bukan sahaja atas pertolongan yang dihulurkan tetapi lebih-lebih lagi, kesudian mereka berkongsi suka duka dengannya. Jelaslah bahawa mereka menganggap kesusahan Paulus sebagai kesusahan diri mereka lalu bertindak dengan sepatutnya.
Bagi Paulus, bantuan kewangan mereka merupakan perkongsian mereka secara aktif dan praktikal dalam pelayanannya. Jadi, Paulus mahu mendorong mereka supaya terus menyokong pekerjaan Allah. Membantu Paulus dalam pelayanannya untuk memberitakan Injil bermakna bahawa mereka secara tidak langsung juga terlibat dalam pekerjaan Allah. Sebab memberikan bantuan untuk menampung keperluan seorang hamba Allah bererti bahawa seseorang itu turut serta dalam pekerjaan Allah.
Sesungguhnya, Allah tidak memerlukan apa-apa pun daripada setiap kita. Namun demikian, sikap sudi memberi untuk pekerjaan Allah merupakan tindakan kita yang sewajarnya terhadap segala-gala yang kita miliki. Sebab segala yang kita miliki di dunia ini sebenarnya milik Allah kerana segala pemberian yang baik dan sempurna diturunkan dari syurga oleh Allah Bapa. Oleh itu, menghulurkan sumbangan untuk pekerjaan Allah merupakan berkat dan sukacita daripada Allah kepada kita.
Biarlah kita menjadi penolong dalam kesusahan seseorang hamba Allah yang taat setia melaksanakan pekerjaan-Nya. Memberi dan menyokong pekerjaan Allah ialah satu amalan ibadat untuk melahirkan kesyukuran selain merupakan satu cara untuk memberitakan Injil kepada lebih ramai orang lagi. Allah akan membekalkan segala keperluan kita daripada kekayaan-Nya yang termulia dalam Kristus Yesus.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, aku bersyukur kepada-Mu kerana sesungguhnya segala pemberian yang baik dan sempurna berasal daripada-Mu. Daripada tangan-Mu sendirilah persembahan yang aku berikan kepada-Mu. Ajarlah aku supaya sentiasa bermurah hati untuk memberi demi tujuan pekerjaan-Mu di samping terus memuliakan Engkau dengan segala yang aku miliki. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie




Comments