top of page

Jadilah Cahaya Selama Kita Hidup

ree

Dunia kita pada hari ini diliputi kegelapan. Cahaya Kristus sememangnya amat diperlukan untuk menerangi kegelapan yang menyelubungi dunia ini. Jelaslah bahawa Yesus memanggil semua orang datang kepada-Nya dan mempercayai-Nya supaya mereka tidak terus tinggal dalam kegelapan, bahkan akan mempunyai cahaya hidup.

 

Tuhan Yesus menyeru semua orang untuk menerima-Nya sebagai cahaya dunia. Selanjutnya, Dia mahu membangunkan mereka sebagai para pengikut-Nya supaya mereka akan bersinar  dalam kegelapan dunia ini. Oleh sebab Yesuslah cahaya dunia ini,  maka apabila seseorang itu menyerahkan hidup kepada-Nya, orang itu turut menjadi cahaya bagi dunia ini.

 

Tegasnya, orang yang dahulu hidup dalam kegelapan akibat dosa mereka akan menjadi cahaya dalam Tuhan dan hidup sebagai anak-anak cahaya apabila mereka menerima Tuhan Yesus sebagai Penyelamat peribadi mereka (Efesus 5:8). Mereka yang percaya kepada Tuhan Yesus menjadi anak-anak Allah yang tidak bercela antara manusia. Dalam zaman yang penuh tipu daya dan perbuatan songsang, terserlahlah mereka seperti bintang di langit yang terus bersinar dalam kegelapan (Filipi 2:15). Cahaya itu amat nyata melalui cara hidup mereka setiap hari.

 

Ingatlah bahawa Yesus berkata kepada murid-murid-Nya, “Kamu ialah cahaya dunia ini. Kota di atas bukit tidak mungkin tersembunyi. Tiada siapa memasang pelita lalu menyorokkannya di bawah pasu; tentu dia meletakkannya di atas kaki pelita untuk menerangi seisi rumah.”  (Matius 5:14-15 AVB)

 

Bagaimanakah dengan diri kita pada hari ini? Adakah kita sesungguhnya menjadi cahaya di tengah-tengah kegelapan pada hari ini?  Sebab “cahaya” kita membuktikan bahawa kita sesungguhnya milik Tuhan Yesus dan hidup sepenuhnya dalam kasih serta kebenaran-Nya.

 

Adakah orang yang ada di sekeliling kita pada hari ini melihat cahaya Tuhan Yesus dalam diri kita atau sebaliknya? Biarlah cahaya kita bersinar di hadapan orang ramai supaya mereka melihat perbuatan kita yang baik lalu memuji Bapa kita yang di syurga.

 

Doa:

Ya Tuhan Yesus, aku datang kepada-Mu untuk memohon agar Engkau mengajar aku  menjalani hidup dalam cahaya-Mu agar orang yang ada di sekelilingku akan melihat kebaikan dan kemuliaan-Mu. Pada satu hari nanti mereka juga menerima Engkau sebagai Tuhan dan Penyelamat mereka. Dalam nama-Mu yang agung aku berdoa. Amin.

 

Pr Patrick Taie

Comments


1n.png

  Ikuti Kami Di Media Sosial Untuk Meneroka Lebih Banyak Lagi  

AKD.png
bottom of page