top of page

Jadilah Garam Bumi Kepada Semua Orang

ree

Sewaktu Tuhan Yesus memanggil beberapa orang nelayan untuk menjadi murid-Nya, Dia memberitahu mereka bahawa mereka tidak lagi menjala ikan tetapi akan menjala manusia. Hal ini bermaksud bahawa mereka akan melanjutkan rancangan-Nya bagi manusia di dunia ini dengan mengkhabarkan Injil supaya mereka akan mempercayai Tuhan Yesus.

 

Untuk menggenapi rancangan-Nya di dunia ini, maka para murid dan pengikut-Nya haruslah menjadi garam bumi kepada dunia ini. Dengan kata lain, melalui para pengikut-Nya individu yang belum percaya kepada Tuhan Yesus akan turut mengenal-Nya dan bertaubat lalu  diselamatkan.

 

Apabila para murid dan pengikut Tuhan Yesus menjadi garam bumi kepada dunia ini, maka mereka hendaklah memainkan peranan, seperti garam yang digunakan sebagai perasa dan pengawet. Orang percaya digesa untuk membawa “rasa” yang baik, segar, aman sejahtera dan selamat kepada orang lain yang ada di sekeliling. Selain itu, mereka juga akan “mengawetkan” keadaan di tempat mereka berada demi mengurangkan atau membasmi kejahatan, seperti garam mengawetkan daging supaya tidak menjadi busuk.

 

“Kamu ialah garam bumi. Jika garam menjadi tawar, tidak mungkinlah masin semula. Tidaklah berguna lagi, hanya layak dibuang dan dipijak orang.” (Matius 5:13 AVB)

 

Bagaimanakah dengan diri kita hari ini? Adakah kehadiran kita di tengah-tengah orang di sekeliling kita akan menyebabkan mereka berasa baik, aman sejahtera dan selamat?  Sebab sekiranya kita menjadi garam bagi dunia ini, maka kita harus menjadi teladan iman yang jelas kelihatan menjalani hidup yang memancarkan kasih dan kebenaran Allah demi kemuliaan Allah.

 

Doa:

Ya Bapa yang di syurga, pakailah hidupku sebagai alat-Mu yang membawa rasa baik, aman sejahtera dan selamat kepada orang lain. Ajarlah aku untuk menjadi murid-Mu yang sungguh-sungguh memberikan berkat dan kebaikan kepada orang di sekelilingku supaya mereka akan mengenal Engkau serta percaya kepada-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


1n.png

  Ikuti Kami Di Media Sosial Untuk Meneroka Lebih Banyak Lagi  

AKD.png
bottom of page