top of page

Jadilah Pembawa Perbezaan di Mana-Mana Sahaja Anda Berada

ree

Selamat hari Gawai, semoga kasih kurnia Tuhan Yesus menyertai kita semua sepanjang perayaan Gawai pada tahun ini.

 

Semasa perayaan Gawai pada tahun ini, pasti kita akan bertemu dengan berbagai-bagai perwatakan orang. Namun demikian, sebagai orang yang percaya kepada Tuhan Yesus,  kita bukan sahaja tidak patut menjauhi mereka, tetapi perlu bergaul mesra dengan mereka tanpa menjejaskan iman kita. Apakah yang harus kita lakukan dan katakan semasa kita bersama-sama dengan mereka? Sebab setiap kita diperintah oleh Allah untuk menjadi berkat, garam bumi dan cahaya kepada semua orang yang ada di sekeliling kita. Oleh itu, kita harus mengambil peluang keemasan semasa perayaan untuk berinteraksi dengan mereka selain menerima mereka sebagai saudara kita dalam Tuhan.

 

Tegasnya, firman Allah memberitahu setiap kita yang sudah percaya kepada Tuhan Yesus supaya kita membawa perbezaan positif kepada mereka yang ada di sekeliling kita, terutamanya melalui perbuatan, perkataan dan sikap kita semasa bersama-sama mereka. Orang yang belum percaya, yang ada di sekeliling kita akan dapat melihat “Tuhan Yesus” dalam hidup kita lalu ingin mengenal-Nya.

 

Itulah sebabnya Paulus berkata kepada jemaah yang ada di Roma, “Janganlah ikut cara dunia, sebaliknya berubahlah menurut pembaharuan fikiranmu. Dengan demikian, kamu dapat memastikan apa kehendak Allah itu, apa yang baik, yang diredai-Nya dan yang sempurna.” (Roma 12:2 AVB)  Dengan kata lain, mereka tidak mengikut kebiasaan-kebiasaan dunia ini yang lebih bercirikan kepentingan diri, kebendaan dan pengaruh negatif yang lain tetapi mereka haruslah membiarkan Allah mengubah jiwa raga mereka secara rohani, sehingga mereka dapat memahami kehendak Allah bagi hidup mereka dengan penuh keyakinan.

 

Pendek kata, mereka haruslah menjalani hidup yang berbeza daripada mereka yang belum menyerahkan hidup sepenuhnya kepada Tuhan Yesus. Mereka tidak akan bertutur dan bertindak seperti orang dunia ini tetapi sentiasa memuliakan Allah dalam setiap yang  dikatakan, dilakukan dan difikirkan mereka.

 

Demikian juga dengan diri kita yang percaya kepada Tuhan Yesus pada hari ini. Kita janganlah mengikut cara hidup mereka yang belum percaya kepada Tuhan Yesus sewaktu kita bersama-sama mereka. Sebaliknya, kita harus menjalani hidup yang berbeza daripada mereka dalam perkataan, perbuatan  dan pemikiran kita agar orang akan melihat Yesus betul-betul dalam hidup kita.

 

Jadilah pembawa perbezaan kepada orang yang ada di sekeliling kita.

 

Doa:

Ya Bapa yang di syurga, ajarlah aku untuk menjalani hidup yang diperkenan-Mu  dengan menjauhi segala perkara yang tidak menyenangkan hati-Mu. Bimbinglah aku untuk memuliakan-Mu dalam segala perkara dalam hidupku. Dalam nama Tuhan Yesus Penyelamat hidupku aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page