Jadilah Pendamai
- 4 days ago
- 2 min read

Dan aku meminta kepadamu juga, teman sejati, bantulah perempuan-perempuan ini yang telah berusaha bersamaku untuk Injil, juga dengan Klemen serta teman sekerjaku yang lain, yang nama-nama mereka ada dalam Kitab Hidup. Filipi 4:3 AVB
Rasul Paulus meminta seorang teman sejati yang tidak diketahui namanya untuk membantu dirinya menyelesaikan perselisihan yang terjadi antara Euodia dengan Sintikhe. Besar kemungkinan teman sejati Paulus ini seorang pemimpin jemaah di Filipi yang boleh dipercayai. Paulus berharap semoga teman sejatinya itu akan memainkan peranan sebagai pendamai kepada Euodia dan Sintikhe.
Tindakan Paulus menunjukkan bahawa konflik jemaah perlu ditangani bersama dengan segera dan tidak boleh dibiarkan. Euodia dan Sintikhe merupakan teman sekerja Paulus yang sejati. Mereka berdua sudah bekerja keras bersama Paulus, Klemen dan teman sekerja yang lain untuk mengkhabarkan Injil. Oleh itu, Paulus mengingati dan menghargai pelayanan mereka untuk menyebarkan Injil di Filipi. Oleh itu, Paulus menggesa mereka untuk berdamai kerana nama mereka ada di dalam Kitab Hidup yang tercatat nama orang yang memiliki hidup kekal dan kewargaan syurga.
Paulus sedang berada di dalam penjara ketika dia mendengar tentang perselisihan yang terjadi antara Euodia dengan Sintikhe. Apakah yang ingin disampaikan Paulus kepada saudara saudari dalam Kristus di Filipi? Paulus ingin mengingatkan kedua-dua wanita yang berselisih itu bahawa identiti abadi mereka jauh lebih penting daripada perselisihan duniawi yang sementara.
Demikian juga dengan diri kita. Sebagai anggota jemaah, kita didorong untuk bersatu hati. Biarlah kita mengikut ajaran Paulus untuk mengutamakan kesatuan antara anggota jemaah dengan mengasihi dan memprihatinkan satu sama lain. Apabila ada peluang, kita haruslah berbuat baik kepada semua orang, lebih-lebih lagi saudara saudari kita yang seiman. Jadilah pendamai dan bukan batu api.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, tolonglah aku untuk membawa pendamaian kepada anggota jemaah yang sedang berselisih. Ajarlah aku untuk menjadi pendamai yang boleh dipercayai. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie




Comments