Jadilah Saksi Yesus Sepanjang Hidup
- 4 hours ago
- 1 min read

“Kamulah saksi segala perkara ini.” Lukas 24:48 AVB
Setelah Tuhan Yesus membuka pintu pemahaman para murid-Nya terhadap apa yang telah dikatakan dan ditulis mengenai diri-Nya dalam Taurat Musa, kitab-kitab nabi dan Mazmur, Yesus memberikan perintah kepada mereka untuk menjadi saksi-Nya kepada semua bangsa mulai dari Yerusalem tentang apa yang terjadi.
Saksi merujuk kepada orang yang mengetahui atau melihat suatu peristiwa atau perkara yang berlaku dan boleh memberikan keterangan. Oleh sebab orang tersebut menyaksikan peristiwa itu, maka dia harus menjadi saksi untuk mengesahkan peristiwa itu kepada orang lain yang tidak mengetahui atau melihat hal itu.
Demikianlah juga halnya dengan pengikut-pengikut Yesus yang menyaksikan semua peristiwa yang terjadi dari masa Yesus dibaptiskan oleh Yohanes Pembaptis, kemudian memulakan pelayanan-Nya sehingga kematian dan kebangkitan-Nya. Dengan kata lain, mereka harus memberikan kesaksian tentang Injil Yesus Kristus, khususnya tentang kebangkitan-Nya (Kis 2:32; 4:33). Sebagai saksi Yesus, mereka akan menyampaikan perkhabaran bahawa manusia harus bertaubat daripada dosa-dosa mereka supaya Allah akan mengampuni mereka. Berita ini harus diisytiharkan kepada semua bangsa mulai dari Yerusalem sampai ke hujung dunia.
Ingatlah, Yesus memberikan amanah dan tugas kepada semua pengikut-Nya untuk menjadi saksi-Nya kepada semua orang. Oleh itu, Yesus memerintah para murid-Nya untuk pergi menjadikan semua bangsa murid-Nya. Mereka hendaklah dibaptiskan dengan nama Bapa, Anak dan Roh Kudus dan diajar supaya mentaati segala perkara yang telah diperintahkan-Nya. Marilah kita menjadi saksi kepada Allah Penyelamat kita yang berkehendakkan semua manusia diselamatkan dan tidak lagi berjalan dalam kegelapan tetapi akan mempunyai cahaya hidup.
Doa:
Ya Tuhan Yesus, terima kasih kerana sentiasa bersamaku. Pakailah hidupku untuk bersaksi tentang hidup-Mu, kematian-Mu dan kebangkitan-Mu agar semua orang di dunia ini akan percaya kepada-Mu dan diselamatkan daripada dosa-dosa mereka. Dalam nama-Mu yang mengatasi semua nama, aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie




Comments