top of page

Jadilah Teladan Kepada Orang di Sekeliling Kita

ree

Timotius merupakan pastor muda yang melayani jemaah di Efesus. Memandangkan dia masih setahun jagung, maka tidak hairanlah akan timbul pelbagai kekangan dan halangan dalam pelayanannya kepada jemaah di Efesus.  

 

Syukurlah, Paulus  yang merupakan mentor atau pembimbing Timotius menasihatinya supaya dia tidak membiarkan sesiapa pun untuk memperlakukan dirinya seolah-olah dia tidak penting. Jadi, dia haruslah pertama-tama menjadi teladan kepada semua orang  beriman, iaitu bagaimana mereka patut hidup mengikut cara dia bertutur dan bertindak laku dengan kasihnya,  imannya serta kesuciannya.

 

Paulus memberitahu Timotius bahawa ukuran untuk melayani Tuhan Yesus tidak terletak pada umur tetapi teladan yang baik melalui tutur katanya untuk mendorong saudara seiman, tingkah lakunya yang memperlihatkan kejujuran dan perbenaran, kasih serta belas kasihannya kepada orang lain, hidup suci lagi beriman kepada Kristus dengan menahan godaan dan mentaati perintah Allah. Semua ini akan menjadi kunci kepercayaan orang lain terhadap dirinya untuk melayani Tuhan Yesus.

 

Oleh itu, jadilah teladan yang baik semasa kita bersama-sama saudara-mara kita  menyambut perayaan Gawai pada tahun ini, agar semua orang yang melihat diri kita akan memuliakan Allah lalu ingin percaya kepada Tuhan Yesus sebagai Tuhan dan Penyelamat mereka.

 

“Jangan biarkan sesiapa menghinamu kerana usiamu yang muda. Jadikan dirimu teladan kepada semua orang beriman dari segi kata-kata, kelakuan, kasih, iman dan kesucian.” (1 Timotius 4:12 AVB)

 

Ada pepatah yang berbunyi “perbuatan kita sebenarnya jauh lebih bermakna daripada tutur kata kita”. Ada orang boleh bercakap berdegar-degar tetapi cuma cakap kosong dan tiada tindakan.

 

Doa:

Ya Bapa yang di syurga, ajarlah aku untuk menjadi teladan yang baik semasa aku bersama-sama saudara-maraku yang belum percaya kepada Tuhan Kristus atau saudara seiman, agar  nama-Mu sentiasa dimuliakan dan hidupku menjadi saluran berkat. Dalam nama Tuhan Yesus Kristus aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page