Jaga Kepentingan Orang Lain
- 1 day ago
- 1 min read

Tiap-tiap seorang daripada kamu janganlah menjaga kepentingan diri sahaja, jagalah juga kepentingan orang lain. Filipi 2:4 AVB
Rasul Paulus menasihati saudara saudari dalam Kristus di Filipi supaya mereka tidak hanya asyik memikirkan keperluan dan keuntungan diri sendiri, tetapi mereka harus sentiasa prihatin tentang keperluan serta kesejahteraan orang lain juga. Pendek kata, perhatikan kepentingan orang lain juga dan bukan hanya kepentingan diri sendiri.
Hal ini bermakna bahawa Paulus ingin melihat saudara saudari dalam Kristus di Filipi hidup berbeza daripada orang yang belum percaya, yang sentiasa mementingkan diri mereka sendiri. Sebab bagi seseorang yang sungguh-sungguh sudah hidup bersatu dengan Kristus, dia tidak lagi dikongkong oleh keangkuhan dan kepentingan diri. Oleh itu, dia akan mengambil berat tentang keperluan fizikal, emosi atau rohani orang di sekelilingnya. Apabila ada peluang dia akan berbuat baik kepada mereka, lebih-lebih lagi saudara-saudara yang seiman.
Seorang yang sudah hidup bersatu dengan Kristus pasti tidak lagi hanya memikirkan kepentingan diri sendiri, tetapi sentiasa memperhatikan kepentingan orang lain juga. Paulus tidak mengajar bahawa kita mengutamakan kepentingan orang lain sehingga mengabaikan kebajikan diri atau keluarga. Sesungguhnya, sekiranya seseorang tidak menjaga sanak saudaranya, apatah lagi seisi rumahnya sendiri, maka dia menyangkal iman dan lebih buruk daripada orang yang tidak beriman.
Marilah kita membuktikan secara nyata dan praktikal bahawa kita hidup bersatu dengan Kristus selama kita hidup di dunia ini. Kita akan sentiasa hidup dengan mentaati kehendak dan jalan-Nya. Allah akan berkenan dengan kita jika kita menjaga kepentingan orang lain dan berprihatin terhadap keperluan mereka. Sebenarnya, kita sudah menghayati maksud Kristus tentang “mengasihi sesama manusia sebagaimana kita mengasihi diri kita sendiri.”
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, aku datang memohon bimbingan-Mu untuk sentiasa memperhatikan kepentingan orang lain juga dan tidak memperhatikan kepentingan diri sendiri sahaja. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie




Comments