Jalanilah Hidup Sebagai Orang Bijaksana
- Komuniti Digital 05

- Sep 3
- 1 min read

Hidup di alam dunia yang fana ini merupakan satu perjalanan yang ada permulaan dan pengakhiran. Semua orang pasti akan menamatkan perjalanan hidup mereka di dunia ini pada suatu hari nanti. Biarpun seseorang itu tidak mahu pergi dari dunia ini, namun dia perlu menerima hakikat bahawa hidup ini pasti akan berakhir.
Oleh itu, Paulus memperingatkan jemaah yang ada di Efesus supaya berhati-hati bagaimana mereka harus hidup. Dia menasihati mereka supaya memperhatikan cara mereka hidup sehari-hari dari segi tutur kata, tingkah laku, sikap dan sebagainya. Dalam Efesus 5:15 AVB Paulus menulis, “Hiduplah dengan hati-hati — bukan seperti orang tidak arif tetapi sebagai orang bijaksana.”
Paulus menggesa setiap orang yang percaya kepada Tuhan Yesus agar menjalani hidup dengan beringat-ingat dan takut kepada Allah selain menggunakan setiap peluang dengan sebaik-baiknya kerana zaman itu durjana. Hal ini bermaksud bahawa seseorang itu mudah sekali tergoda untuk memburu kepentingan atau kesenangan diri sendiri, dan bukanlah untuk mencari Allah demi menyenangkan hati-Nya.
Betapa pentingnya kita hidup menurut kehendak Allah di samping mempergunakan setiap kesempatan yang kita miliki untuk mengkhabarkan Injil dan melakukan apa yang baik kerana zaman ini penuh dengan pelbagai kejahatan. Biarlah kita hidup sebagai orang bijaksana dan bukan seperti orang yang bodoh atau tidak arif.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, aku sangat bersyukur kepada-Mu kerana mengurniakan hidup kepadaku di dunia ini. Ajarlah aku untuk menjalani hidup ini secara bijak dengan mempergunakan setiap peluang untuk melakukan apa yang baik bagi orang lain demi kemuliaan-Mu. Dalam nama Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie




Comments