top of page

Jangan Ambil Kesempatan Demi Kepentingan Diri

ree

“Kemudian tuan hamba itu akan kembali pada hari yang tidak disangkanya dan pada waktu yang tidak diketahuinya. Dia akan membunuh hamba itu dan menempatkannya bersama orang yang tidak setia.” Lukas 12:46 AVB

 

Tuhan Yesus berkata kepada murid-murid-Nya bahawa apabila tuan hamba itu pulang secara tiba-tiba dan mendapati hambanya  tidak menjalankan tugas yang diamanahkan kepadanya dengan baik, maka tuan itu akan menyesahnya serta membiarkan dia merasai nasib orang yang tidak taat kepada Allah.

 

Oleh itu, seorang hamba yang diamanahkan oleh tuannya  untuk mengurus rumah tangganya dan memberikan makanan kepada hamba-hamba yang lain sewaktu ketiadaannya haruslah menjalankan tugas dengan sebaik-baiknya. Sesungguhnya, hamba itu akan dihukum jika dia berfikir dalam hatinya bahawa tuannya akan pulang lambat, lalu menggunakan kesempatan itu untuk kepentingan diri sendiri, seperti memukul  hamba-hamba yang lain baik lelaki mahupun wanita dan makan minum sehingga mabuk. 

 

Kemudian tuan hamba itu kembali secara tiba-tiba, pada hari yang tidak disangka-sangka atau pada waktu yang tidak diketahui oleh hambanya. Maka tuan hamba itu akan membunuhnya dan menempatkannya bersama orang yang tidak setia. Oleh itu, seorang hamba yang diberi kepercayaan oleh tuannya harus menyempurnakan tugasnya dengan baik dan bukan berleka-leka atau menggunakan peluang tersebut untuk memuaskan keinginan hatinya. Sebab tuannya memberikan tugas itu kepadanya agar dia dapat menolong dan melayani orang lain.

 

Demikian juga dengan diri kita pada hari ini. Janganlah kita mengambil peluang yang diberikan Allah kepada kita pada hari ini hanya untuk kepentingan diri sendiri. Sebaliknya, marilah kita menggunakan semua kesempatan yang diberikan Allah kepada kita untuk melakukan yang terbaik bagi memberkati orang lain yang di bawah jagaan kita.

 

Ingatlah bahawa Tuhan Yesus mengamanahkan kita dengan tugas tertentu agar orang lain diberkati dan mengenal-Nya secara peribadi. Oleh itu, jalankanlah tugas kita dengan sebaik-baiknya demi kemuliaan Tuhan Yesus.

 

Doa:

Ya Bapa yang di syurga, terima kasih kerana mengamanahkan aku untuk melaksanakan tugas-tugas tertentu. Tolonglah aku untuk menyempurnakan tugas-tugasku itu dengan sebaik-baiknya supaya orang lain akan diberkati. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

留言


1n.png

  Ikuti Kami Di Media Sosial Untuk Meneroka Lebih Banyak Lagi  

AKD.png
bottom of page