Jangan Berhenti Berbuat Baik
- Komuniti Digital 05

- Sep 4
- 1 min read

Antara nasihat akhir Paulus kepada jemaah di Galatia ialah mereka janganlah jemu berbuat baik kerana pada musimnya nanti mereka akan menuai jika mereka tidak berputus asa. Oleh itu, apabila ada peluang, mereka haruslah berbuat baik kepada semua orang, lebih-lebih lagi saudara-saudara seiman. (Galatia 6:9-10 AVB)
Sebab perbuatan baik merupakan hasil seseorang yang dipimpin oleh Roh Kudus setelah dia menerima Yesus ke dalam hidupnya. “Sebaliknya, buah Roh ialah kasih, sukacita, damai sejahtera, kesabaran, kemurahan, kebaikan, kesetiaan, lemah lembut dan penguasaan diri. Tiada hukum yang menentang segala ini.” (Galatia 5:22-23 AVB)
Oleh itu, sebagai seorang yang mengakui diri dipimpin oleh Roh Kudus, dia haruslah sentiasa berbuat baik tanpa mengenal jerih lelah. Dengan kata lain, dia seorang yang kaya dengan amal kebajikan, sedia memberi, dan rela berkongsi walaupun dia menghadapi pelbagai cabaran atau usaha murninya seolah-olah tidak membuahkan apa-apa hasil.
Berbuat baik kerana didorong oleh iman kepada Tuhan Yesus amat penting dalam hidup seorang Kristian. Sesungguhnya, sesiapa yang berbuat baik, maka dialah milik Allah dan diperkenan-Nya. Dia akan dilimpahi berkat Allah mengikut masa-Nya.
Kesimpulannya, janganlah kita patah semangat atau putus asa untuk berbuat baik kepada orang lain selama kita hidup dan berpeluang, kerana kita tahu bahawa dalam Tuhan Yesus, jerih lelah kita tidak akan sia-sia. (1 Korintus 15:58)
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, aku sangat bersyukur kepada-Mu kerana aku dikurniai hidup. Ajarlah aku untuk menjalani hidup ini secara bijak dengan memanfaatkan setiap peluang untuk berbuat baik kepada orang lain. Dalam nama Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie




Comments