Jangan Berpusatkan Diri Sendiri
- 5 hours ago
- 1 min read

Janganlah lakukan apa pun kerana kepentingan diri sendiri atau keangkuhan. Dalam kerendahan hati biarlah setiap orang menganggap yang lain lebih tinggi daripada dirinya. Filipi 2:3 AVB
Rasul Paulus memperingatkan saudara saudari dalam Kristus di Filipi supaya mereka tidak melakukan sesuatu yang didorong oleh kepentingan dan keuntungan diri sendiri, ataupun suka bersaing dengan orang lain. Di samping itu, mereka janganlah besar kepala, hidung tinggi, dan tinggi diri. Sebaliknya, mereka masing-masing patut merendahkan hati dengan menganggap orang lain lebih baik daripada diri mereka sendiri. Rendah hati tidak bermakna pula bahawa kita mengamalkan kompleks rendah diri atau memandang rendah kepada diri.
Peringatan ini diberikan oleh Paulus supaya saudara saudari dalam Kristus di Filipi tidak terjerumus dalam dosa keangkuhan. Mereka hendaklah sentiasa menjalani hidup dengan merendahkan diri di hadapan Allah. Sesungguhnya, Allah akan menetapkan satu hari pembalasan bagi semua orang yang sombong dan bongkak, bagi semua orang yang meninggikan diri supaya mereka direndahkan.
Sekiranya seseorang itu terus-menerus memusatkan setiap sesuatu yang dilakukannya hanya pada dirinya sendiri dan ingin menonjolkan dirinya, dia tidak menyenangkan hati Allah. Sebab seseorang yang hanya memusatkan diri sendiri bermakna bahawa dia menganggap dirinya lebih besar dan penting daripada segala-galanya. Biarlah setiap orang berfokus untuk melayani orang lain lebih daripada melayani diri sendiri.
Marilah kita menghindarkan diri kita daripada memusatkan segalanya pada diri kita sendiri atau kepada kepentingan diri sendiri tetapi sentiasa melakukan sesuatu yang terarah kepada kemuliaan Allah dan kepentingan serta kesejahteraan orang lain. Biarlah kita menganggap orang lain lebih tinggi daripada diri kita sendiri. Ingatlah, keangkuhan mendahului kehancuran, dan hati yang sombong mendahului kejatuhan. Mata yang sombong dan hati yang bongkak pasti akan membawa dosa. Allah akan membimbing orang yang rendah hati dan mengajar mereka jalan-Nya.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, aku datang menyerahkan seluruh hidupku kepada-Mu. Jadikanlah aku sebagai hamba-Mu yang rendah hati untuk memuliakan nama-Mu. Jadikan aku sebagai berkat kepada orang yang ada di sekelilingku supaya mereka melihat cahaya-Mu lalu memuji-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie




Comments