top of page

Jangan Mengejar Penghormatan Untuk Diri Sendiri

ree

Ketika Yesus melihat bagaimana tetamu memilih tempat duduk yang terbaik dalam jamuan itu, Dia mengatakan suatu ibarat kepada mereka: Lukas 14:7 AVB


Tuhan Yesus memperhatikan bagaimana beberapa orang tetamu yang diundang ke majlis perkahwinan memilih tempat duduk yang terhormat di sekitar meja makan bagi diri mereka. Oleh itu, Yesus menceritakan suatu ibarat kepada mereka semua.


"Apabila kamu dijemput orang ke majlis perkahwinan, janganlah duduk di tempat yang terbaik. Mungkin seorang yang lebih penting daripada kamu telah dijemput,  dan tuan rumah akan datang dan berkata kepadamu, ‘Berikanlah tempatmu kepada orang ini.’ Lalu dengan malu sahaja kamu berpindah ke tempat yang paling belakang.”


Yesus mengisahkan ibarat ini untuk menasihati orang yang sangat suka menerima penghormatan bagi dirinya. Sikap sedemikian menunjukkan orang itu tinggi hati. Melalui ibarat itu, Yesus ingin memperingatkan kita semua bahawa penghormatan tidak seharusnya menjadi cita-cita utama kita., Sebenarnya, penghormatan  merupakan satu anugerah kepada kita, dan bukan semata-mata kerana kita memiliki kedudukan, kelebihan, kebaikan atau pencapaian tertentu. 


Janganlah kita berasa layak untuk mendapatkan tempat terbaik atau mengejar penghormatan  bagi diri kita sendiri. Mungkin kita sangka bahawa cara tersebut dapat, menaikkan harga diri atau status sosial diri kita.  Sebaik-baiknya kita  menanam sikap rendah hati dalam diri kita. Rendah hati tidak sekali-kali mengurangkan penghormatan terhadap diri sendiri, tetapi akan tetap menjaga harga diri kita.


Berhati-hatilah supaya tidak mengejar penghormatan bagi diri kita kerana orang yang meninggikan diri akan direndahkan. Dalam ibarat Yesus, tuan rumah meminta  tetamu yang duduk di tempat terbaik agar dia memberikan tempatnya kepada tetamu yang lebih penting daripadanya. Lalu dengan malu sahaja dia terpaksa berpindah ke tempat yang paling belakang. Bukankah lebih baik kita memupuk sikap rendah hati daripada dimalukan atas sikap ego atau suka meninggikan diri?


Doa:

Ya Bapa yang di syurga, ajarlah aku untuk memupuk sikap rendah hati dan tidak mengejar penghormatan serta penghargaan.Tolonglah akumenjalani hidup yang diperkenan oleh-Mu sepanjang hidupku. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie


Comments


bottom of page