top of page

Jangan Takut akan Mereka yang Mengambil Nyawa

ree

“Aku berkata kepadamu, hai sahabat-sahabat-Ku, jangan takut akan mereka yang dapat membunuh jasad dan kemudian tidak berkuasa lagi terhadapmu.Lukas 12:4 AVB

 

Yesus memberikan nasihat kepada murid-murid-Nya supaya tidak takut kepada manusia yang hanya dapat membunuh jasad atau tubuh jasmani mereka, tetapi setelah itu  tidak berkuasa berbuat apa-apa lagi. Tegasnya, mereka harus menakuti sesorang yang berkuasa untuk memusnahkan jiwa mereka. Dengan kata lain, takutlah akan Dia (Allah) yang setelah memusnahkan jasad, berkuasa pula membuang mereka ke dalam neraka.

 

Sebab apabila mereka  memutuskan untuk mengikut Tuhan Yesus, pasti mereka akan menghadapi tentangan daripada musuh-musuh mereka. Akan tetapi, mereka tidak perlu menyerah kalah atau membiarkan diri mereka dikongkong oleh  keluh-kesah dan ketakutan akan kekuatan serta kemarahan manusia kerana golongan tersebut tidak dapat membunuh jiwa mereka.

 

Nyatalah bahawa kita tidak perlu gentar. Sekalipun mereka dapat mengambil nyawa kita, tetapi jangan terhalang daripada terus melakukan pekerjaan Allah dalam hidup kita. Sebab kuasa dan kewibawaan Allah adalah mutlak dan tiada tolok banding sementara kuasa musuh-musuh kita adalah terbatas. Musuh kita hanyalah dapat membawa ancaman, kesusahan, bahkan kematian fizikal tetapi Allah berkuasa sepenuhnya atas kedua-dua tubuh dan jiwa kita.

 

Sesungguhnya, musuh-musuh kita di dunia ini hanya dapat membunuh tubuh, tetapi langsung tiada kuasa atas jiwa kita. Oleh itu, janganlah kita takut terhadap ancaman musuh-musuh kita di dunia ini. Tetaplah beriman teguh pada Tuhan Yesus dan setia melayani-Nya sehingga akhir hidup kita.

 

Ingatlah, sekiranya kita mengakhiri perlumbaan hidup ini dengan baik, maka kita akan menerima hidup kekal dan mahkota kemenangan di syurga. Oleh itu, janganlah takut akan mereka yang dapat membunuh jasad kita kerana jiwa kita tetap selamat dan diberkati demi menikmati hadirat Allah selama-lamanya.

 

Doa:

Ya Bapa yang di syurga, aku datang  memohon agar Engkau memberi aku kekuatan untuk menghadapi segala ancaman dunia. Tolonglah aku supaya tidak takut tetapi  tetap beriman kepada-Mu sepanjang hidupku. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page